Pagi itu kenangan datang
padaku membawa pisau. Aku terpempan sebelum bertanya,
“Kenapa aku?” Bibirnya mawar – menguntum senyum tawar lalu menjawab dengan bahasa perempuan, “Engkau tidak memilih kenangan, sayang!”
Langit terbuka.
Kenang-kenangan terbang bergentayangan tanpa batas
dengan bunga dengan madu
dengan racun.
Aku tidak jumpa kenangan yang cocok
seperti katanya, aku tidak memilih kenangan.
Lalu terdamparlah aku
melihat langit
ditikam kenangan
sejurus pergi (dan luka masih basah)
kenangan sengaja mencicirkan pisau
katanya,
lewat senyumnya yang (masih) perempuan
“Sehingga bertemu lagi,
Sayang!”
Bilakah angin akan datang membawa khabar telah kami tenung
langit dan laut, bertanya kalau-kalau ada
camar dan ikan yang mahu bersuara
membayangkan jawapan kepada sebuah
cerita yang kami baca dari buku yang
tidak kehabisan lembar.
Kami menanti
berita-berita lewat dari para peneka (yang kadangkala
suka berjenaka) dan
sang pewajar kehilangan wajah di hujungnya hanya
paparan sah dan nafi saat kita menjemput
ketumbukan seluruh benua gusar kami seluas Laut
China Selatan mahu dikepung satu dua
hari lagi.
Sejadah kami telah
menakung tumpahan air mata moga ia cukup ikhlas
menjadi jambatan menghantar doa kepada
Tuhan agama sering jadi
antara persinggahan terakhir para pengenggan takdir namun di sebalik
banyaknya dosa kita tetap bersolat mengetahui bukan di
tangan kita jadinya sebarang manfaat atau
mudarat.
harapan adalah kata muluk dari mulut busuk pemimpin-pemimpin mabuk kuasa bercita mencolok mata melayan kita bagai kain buruk buat mengesat buntut-buntut mereka yang belum dicebuk. Subang Jaya 28 Januari 2014
Tidak menjadi kesalahan jika kesalahan di pihak kita tapi apabila kesalahan ada di sebelah lawan segera ia dipersalahkan dan jadi kesalahan terbesar yang pernah dilakukan sepanjang peradaban manusia hanya kerana ia bersalahan dengan kita dan dengan kepentingan yang kita perjuangkan
Kawasan ini selamanya tentang hak yang dilanggar, atau yang mahu dipertahankan. “setiap orang tidak tertakluk kepada apa pun mereka bebas dan berhak,” kata mereka pandang dan faham bergentayangan di langit lepas sempadan tidak ada idea-idea berkisar dan menjadi rojak.
dosa tidak lagi tabu menghalangnya malah melanggar hak asasi manusia. berbanding mendekati agama umat kini mahu kelihatan lebih kacak dan bijak dengan menghindarinya lalu mengimani "kebebasan" sebagai satu dogma yang paling terpercaya.
Petang waktu pulang sewaktu hujan menerjang langit hitam angin bagai meradang di atas aspal, gigil jentera dua roda membelah lecak air tanah, di atasnya seorang pemuda yang kejang.
Ribut belum berhenti sewaktu sekeping besi kecil merobek bocor getah tayar dan membuang angin ke luar lalu teroleng-oleng jentera dikendali pemuda mengawal imbang mengelak kendera beributan di dalam hatinya takut dan bimbang.
Galak hujan belum berhenti begitu juga angin di depan kedai motor agak masih jauh lagi.
Pagi, awal sebelum matahari gelap dan kokok ayam belum lagi jaga seorang lelaki hujung negeri adalah untuk Tuhannya pisat mata kebas kening seram dada “di sini,” bisiknya bangsa bukan untuk diperjuangkan malah, fikir risau tentang agama akan segera dilabel chauvinis oleh sebahagian, sempit oleh sebahagian, dan amno oleh sebahagian yang lain.
Idea terkurung antara dua kandang antagonis adalah untuk kamu yang tidak mahu dikandangkan.
Suaramu adalah yang pertama dan kedua jeritkan yang ketiga dan kamu adalah di atas pagar yang mengepung kandang-kandang perjuangan mereka.
Seperti layang-layang terbang di langit bebas,
lepaskan rasa rindu di Syawal ini untuk seluruh isi alam
dan ungkapkan lafaz syukur paling luas kepada-Nya.
-kerana apalah ertinya lebaran dan paginya yang kudus
tanpa kasih dan maaf dari hati yang tulus.
Dari birai jendela dalam redam petang
bersama nafas, pandangan kulepas ke ruang bebas
seperti selalu, engkau tiada di situ
dan bulan muncul siang dalam garis-garis kelabu
dihantar malam yang ingin cepat tiba
agar hariku nantinya
ya,
Sudah cukup klise ucapan saban tahun malah sambutan terhadapmu terkait dengan faham konsumerisme yang bakal mengayakan pemilik restoran dan pengusaha kedai bunga.
Selainnya, kau tidak perlu kata-kata indah bersifat muluk kerana cinta juga tanggungjawab di pundak akulah tertanggung untuk dilaksana dengan dua tangan dan bukan retorik.
Sesungguhnya, ibu cintaku padamu perlu satu dimensi baru.
Aku sudah pun bersiap untuk berangkat ke pulau rawan sewaktu kaudatang mengendong bagasi kecil yang katamu milikku – tertinggal di muka pintu kau – dengan wajah tanpa ekspresi angin kering sebelum berhenti menukar aku dungu sewaktu senyummu yang madu bersulam tutur selembut malam paling syahdu telah pun berniat membunuh dan meninggalkan aku di jeti lesap dan sepi seperti seorang nelayan yang hilang di tengah subuh.
Kapalku belum berlabuh langit memerah sewaktu bayang-bayang makin hilang. katamu, di hujung sendu (yang sebenarnya tidak pernah kutemu sepanjang kita bertemu) “Simpanlah kesedihanmu dalam bagasi ini atau campakkan ia ke laut.”
Matahari telah benar-benar ditelan ufuk.
“kerana aku takut kauakan mengutip lagi keping-keping kesedihan yang baru di atas kapal atau apabila kautiba nanti di pulau.”
Mengejarmu adalah kerja bodoh yang paling kugemari mungkin dan cukup konsisten kukerjakan kerana gila telah mewajarkan ketidakwarasan cuma sepanjangnya sama ada tersadung, jatuh, atau masuk lubang akulah yang menanggung dengan setia dan tidak jemu biar parut dan luka sudah ada pada setiap inci badan.
Tentang ingatan putik mekar kembang cemerlang besar-besar mengambil ruang emosi penuh terisi terlimpah tak ternafi.
Apakah yang ingin kukatakan tentang ini rasa?
Berulang-ulang membahagiakan malah pada sesetengahnya menghilangkan masa dan ruang berjalan terus tak tertahan pergi membawa harapan yang bisa mungkir bersama kepercayaan dan senyum yang terukir di tubir bibir.
Menoleh ke sisi ada jeling hujung mata. (Ia sebenarnya adalah persoalan mahu dewasa atau kekal bayi tapi aku enggan memilih.)
Maka, apakah yang ingin kukatakan tentang ini rasa?
Memang enak dengar lagu Yesterday dari The Beatles sambil tunggu tahun baru. Selain itu, cuma timbul kerisauan-kerisauan kecil dan besar apabila kalendar hanya tinggal lembar terakhir dan lembaran baru yang tebal akan cepat dibuka. Masa adalah tapak kaki yang kita tinggalkan sewaktu berjalan berkaki ayam di pesisir pantai. Semakin jauh kita tinggalkan semakin hilang ia dari pandangan. Masa juga seperti Hotel California. Kamu boleh check-in bila-bila masa kamu suka. Tetapi kamu tidak boleh keluar pulang darinya. Selamat jalan 2010 dan kesepian. Di pintu 2011 ada pesta baru bakal berjalan.
Di atas kepala, langit sedang resah menggiring awan sebentar lagi akan turun hujan sedang kami di bumi membongkok mengutip janji-janji mungkir yang mungkin tercicir dari liur menteri kalau-kalau nilainya ada barang seringgit dua buat membeli tempe atau tauge demi mengisi malam-malam kami yang lapar.
Dan hujan, turunlah sekurang-kurangnya tahulah kami alam turut bermuram basahilah tanah ini dan hati-hati yang kering milik para politikus temani kami ke istana sultan menghantar memorandum tunjukkan ke muka semua yang kami kebasahan dan kami perlu payung.
Tuan atau tidak, harga kami telah lama lerai ditindih inflasi dan tidak kami setanding menara paling tinggi dengan ratus tingkat menongkat negeri kepada pemimpin yang kehilangan perjuangan, di dada kami ada cinta yang belum sirna mahu kamu pinjam?
Turunlah selebatnya, hujan temani kami tidur saja ini malam tanpa mimpi pun mata kami tetap bisa pejam.
Pada setiap tarikh yang ditera di kalendar hidup tebal tersimpan di dalamnya sejarah, terakam kisahnya yang seribu satu bertunas dari akar yang satu setia menuntun dari satu hari ke satu hari menyongsong minggu-minggu pengalaman semakin kaya dengan rencah rasa dari bulan ke bulan dan tahun-tahun yang meninggi seperti pohon besar yang menurunkan dahan dan julai-julai ranting meninggalkan daun-daun masa yang satu-satu berguguran.
Semakin tinggi kita memanjat pohon semakin jauh kita dari tanah tempat akar berasal adakah jauh juga buah-buah jaya yang tetap jua akan jatuh ke bumi pada musim luruh.
Menumpang teduh di bawah rimbun kesayangan ingin aku tinggalkan jejak bertapak dan teraan “aku ada di sini” dapat nanti dilihat sebagai epitaf oleh generasi nanti yang bakal menyambung nafas.
Kepada pemegang detik di hujung julai sekian banyak bunga dan buah yang kita raih juga duri dari bawah ini dengan suara rendah – mahu kuucapkan selamat harijadi.
Ianya adalah semasa kamu berasa tak berguna biar satu sen dan senyum adalah perkara yang paling kamu benci seperti melihat rama-rama warna-warni terbang tinggi hinggap di jari di ufuk barat bayang-bayang semakin panjang dengan tenggelam matahari sewaktu masa sudah pun patah kaki dan kamu tidak mahu segera pergi dari tempat di mana kamu berdiri.
Sebenarnya kecintaan ini bukan letaknya di sini setelah tanya demi tanya berjawab tutur bisu (dan manis senyum juga tidak semestinya berisi madu) permainan akan terus berlangsung dalam siri-siri yang panjang seperti rentetan aman – perang yang lekas berputar ya, sakit dan tewas boleh saja diberi nama-nama baru – tabah, misalnya tegar atau terjal atau kedegilan yang tak boleh diajar.
Kita – pelakon setia, menggigit derita di depan adalah keping kaca yang bakal mendera
malah sekarang pun aku sudah terdera dengan kesopanan.
Oh, bukan di situ sebenarnya harus aku letakkan kecintaan bahkan kecintaan itu sendiri tidak tahu di mana ia harus diletakkan.
Catatan kali ini pasti lebih melankolis kerana catatan ini tanpa kehadiran bapa seperti angin yang sudah jadi tidak sama antara tiga tahun dulu dan dua puluh tujuh tahun sebelumnya dengan desah nafas kini yang lebih sesak aku bakal teringat dengan rotan dan tali pinggangnya yang panjang, menyesah setiap kali aku lepas liar dan cuba menjadi nakal mengoyak buku latihan Kak Ina atau berlawan kata dengan Makcik yang tidak garang.
Catatan ini juga tidak akan jadi seperti catatan di diari bapa yang setia ditulis setiap awal pagi sepulang dari pasar ketika duduk di kerusi tepi tivi berapa harga gula berapa harga bawang berapa harga tenggiri selain catatan tarikh lahir kami sembilan beradik dengan umurnya sekali.
Ada wajah bapa di balik cermin sewaktu aku bersiap ke tempat kerja betapa satu waktu dulu bapa pernah ada menegur dengan suaranya yang rendah dan meleret diam yang panjang suara yang dalam udara yang bungkam sebelum kami tersedar bahawa yang menasihati kami bukanlah suaranya bukan juga diamnya malah melainkan tutur dari luhur budi yang berbicara melalui kebesaran peribadi.
Meniti usia dewasa di lereng hidup tanpa tampang bapa barangkali aku kehilangan pemegang yang paling aku perlu sewaktu mendaki cerun agak tinggi betapa kerinduan terhadapnya adalah air penawar dahaga yang tak terhabis membuat aku selalu segar semula dengan ingatan bahawa bapa adalah yang paling kukasih dengan ingatan yang akan sering memanjangkan doaku kepada Tuhan bersama titis-titis air mata di pusara yang sempat kutinggalkan.
Malam ini mungkin paling singkat setelah engkau pergi (walau masa tidak pernah mungkir mengiringmu ke muka pintu) tutur tidak bertingkah dan tawa tidak pecah
Tanpa sebarang alasan, kita memilih bersandar di dinding hening (kata Rendra – sepi menjadi kaca)
Hening menyapa dan memberi salam di antara kita udara bungkam dan jurang dalam memandang kosong di antara makna yang enggan bertemu kata-kata menjadi dosa
Petang sewaktu warga kota beransur pulang. Langit lembut. Jalan macet. Unggas pulang sarang.
Dari balik jendela kaca yang belum mahu mencumbui senja hari masih terlalu lama untuk usai sementelah urus duniawi masih jauh dari selesai keletap-keletup papan kekunci dan jari menari - dendang malam Rabu neon billboard ternyala dan gadis kilang pulang kerja di atas meja esok seperti sudah tidak ada.
Laung lembut di puncak menara hayya ‘alassolaah memanggil aku
Sewaktu hari mengutus kata berbaur harum bau bunga hujan belum reda luar jendela di tangan, warkah ini belum dibuka dengan seribu tanya dan jutaan resah rasa digaul dalam kancah agak, terka dan fikir hilang kamu belum terjawab dalam tanda soal yang besar seperti asap kamu pergi tanpa tutur wajar
Dejavu Eduardo berpapasan sewaktu malang itu melanggar kamu melanggar kami, malah melanggar semua.
(Saat itu malah seperti ingin membungkus kembali dengan gebar ketakutan dan mengurung lagi dalam kelambu putus harapan.)
Perlawanan tidak menjadi sehangat itu sewaktu terjahan Shawcross jadi melulu dan tersasar meninggalkan kamu dengan kaki terkulai dan tidak berdaya di depan rakan dan lawan yang tidak percaya memegang kepala dengan mulut ternganga kad merah pengadil tidak dapat mengubat luka di kaki dan di hati yang terbakar marah, kesal, rasa terkhianat berlipat dan tersimpan dalam gulung stokin dan shin guard Namun, “Perlawanan belum berakhir,” kata mereka “Sehingga wisel ditiup, gol kemenangan untuk kami tidak akan mungkir!”
Dan Fabregas menerpa bagai harimau luka perlumbaan mengejar kemenangan tidak pernah segetir ini kesakitan Ramsey perlu diganti hingga putih tulang walau garis kemenangan itu seperti terlalu jauh untuk dicapai tangan.
Kepada Ramsey: Tibia dan fibulamu mungkin patah tetapi harapan kejuaraan tidak seperti rakan-rakanmu yang berjanji membawa pulang trofi ke Emirates untuk kamu aku juga berharap agar tidak perlu terlalu lama menunggu.
Pertambahan usia juga tidak semestinya menambah kematangan Seperti aku yang mencecah tiga puluh tapi dalam banyak perkara masih bodoh malah angkuh enggan menelan kebenaran, berbanding kedegilan yang jadi makanan kegemaran.
Setelah tandus, hati ini hanya tanah keras dengan lekuk lubang dan garis panjang Titis paling akhir air telah kering, hilang dan pergi Tanah ini tidak basah lagi, lembap sudah jadi sejarah yang dirindui Pada bekas pernah subur bunga pohon Tiada Tiada Tiada apa-apa
tetapi tetap ada iblis di matamu malah di tubuhmu seluruh tersenyum dan memanggil seperti kandil yang dihurung kelkatu-kelkatu ghairah sebelum sayap patah menjadi anai-anai menabrak dinding rapuh keimanan lalu runtuh menjadi puing dan baja tak terpemenai
seperti melodi itu, si iblis sama tidak berantai lewat minggu-minggu maksiat mengumpul keseluruhan jahat-jahat menjadi bulan menjadi tahun menjadi dekad dan abad menjadi ketul hitam batu berat besi karat tahi pekat
tanpa air muka, bertenggek si jahanam di pagar dengan gitar memain melodi mengajak datang sertai pesta bunuh hati rai hancur diri begini, katanya di sini nanti kita tidak perlu mati
lalu melodi dimainkan dengan irama sederhana sehingga terlena dan terjaga semula aku terlupa yang di sana mimpi tidak pernah ada.
selamanya bahasa Tuhan masih tidak difahami lewat gegar lewat runtuh lewat raung lewat darah merah bercampur hitam dan coklat tanah sedikit bara yang terpercik ke bumi menjadi api menjadi sangkakala mencabut nyawa saudara kami
“kiamat kecil,” kata mereka pun yang ternampak di mata kami barangkali secubit cuma dari sepadang derita juraian darah dan air mata barangkali belum cukup mengetuk pintu hati kami minta dibuka
kita bercakap tentang simpati tentang ratusan orang mati kita mahu mendidik diri mahu jadi orang yang tahu diri kita cukup gusar kantung amal belum cukup besar
kita belum mahu mati lagi kita harap kita tidak kena gempa bumi
Setiapnya adalah tahap-tahap yang berbeza Sewaktu kita menyangka dalam satu bulatan terkumpul satu pemikiran Sering saja ada yang lebih pandai dan mahu mengeluarkan mafhumnya dari sekolah yang berlainan.
Adakah ia satu jalan menuju kematangan atau kemalangan aku tidak tahu.
Benarkah ini wacana atau sebenarnya ada sesuatu yang tidak kena.
Jika amanah mahu diganti dengan wibawa berupa anugerah Simpankan ia ke dalam poket kot bergayamu Ia terlalu mahal berbanding kain gombang kami yang kusam
Atau adakah taklif disangka tasyrif?
Jika benar, ia maaf, pada masa depan yang menunggu kami tidak lagi punya biaya untuk kamu.
antara menghayati pendirian dengan bujukan liar yang kuat disogok kita sering keliru lalu terjepit antara keduanya percubaan sungguh-sungguh kita melepaskan diri menyebabkan kita ditawar lagi harapan-harapan baru kesekian kali yang galak dan manis wajah menjemput, tapi kudung tangannya.
melihat wira-wira di muka kita ingin ke sana dengan mereka yang menjulang tangan, tinggi mengacung langit di cuping telinga, di balik muka yang sering senyum sebalik berbisik perlahan, ingin kita jerit “Lepaskan aku!!!”
dan topeng yang terikat di muka mereka kita cabut serta hinjak-hinjak di tanah.
Barangkali angin telah bosan mengiring malam awan tidak ada di dada langit unggas yang panas keluar dari sarang udara beku bulan sangat besar masa seperti berhenti.
Seorang petapa mahu menyanyi lagu cintanya kepada Tuhan dengan bejana berisi air iman dia menyiram api di dalam dirinya sendiri.
Selamanya laungan “Hidup Rakyat” menjadi penyegar setelah lelah menonton drama klasik pelaku siasah di pentas terbuka yang belum mahu sudah keadilan walau cuba dilakon-lakonkan di tangan penonton ia tetap milik mutlak pendukung kebenaran.
Penjujur, pengikhlas bukan topeng watak yang boleh dipakai di baliknya wajah busuk itu boleh dibau melainkan hati yang dipateri ego dan kebodohan sang pembeza tetap tahu antara kemenangan yang direncana dengan upaya yang belum berjaya.
Si pemunya kuasa yang mahu memunya semua punya negara punya istana punya dewan segala tiada punya upaya memunyai hati penduduk negeri maka hari ini di bawah pohon pemunya semangat jati demokrasi ingin bersuara “Biar kami tidak punya dewan, Kami punya hati rakyat yang tidak mudah ditawan”
Seperti buram, malam pun telah larut hujan baru reda dan angin masih sangat lembut dari ruang bilik yang belum mahu bermimpi lewat jendela yang separuh terbuka di dada langit bintang tidak ada.
Seorang pendoa dengan linangan dosa menunggu datang cahaya.
Waktu seperti biasa sudah terlalu lewat apabila tren tiba sepertinya mahu menghantar kami lebih dulu ke daerah gusar sebelum maju ke destinasi yang ingin kami tuju berasak di pintu yang terbuka hanyalah secalit warna dari lukisan yang tercat di kanvas Malaysia selebihnya ialah rona-rona berbaur maki, nista dan benci di dalam hati.
“Stesen berikutnya, Batu Tiga”
Ruang gerabak sebesar itu hanya sebenarnya seluas dua tapak kaki masuk ke perutnya bermakna kamu tidak dapat melangkah lagi antara pengap udara yang terkepung dan bau kepam yang terapung kamu sebetulnya terkurung dalam kumpulan manusia sekian banyak ragam dan cara tetapi hanya di dalam ruang yang sebesar ini semuanya seperti jadi bisu jadi tuli.
“Stesen berikutnya, Padang Jawa”
Dari dalam gerabak lewat jendelanya yang kaca pandanganku tertancap pada bangunan-bangunan tinggi separuh siap berjejer di pinggir jalan umpama para pengawal yang setia dan agam tampangnya – mencakar langit teguh berdiri di sisi bukit telah ditarah sehingga ke lantai bumi dan di dalamnya ialah pengungsi dari buruh warga seberang berkongsi diam perempuan dengan laki-laki.
“Stesen berikutnya, Kelang”
Sehingga tiba ke tempat pulang aku berdiri sehingga kebas kaki stesen terakhir tempat kubuang penat di celah-celah rel besi esok aku akan datang semula ke sini menunggu tren yang mungkin datang lewat lagi.
Kami melewatimu sewaktu hari masih terlalu muda Dalam gerabak panjang mel Senandung Malam, bulan penuh malam Dzulqa'idah mengiring kami sehingga ke Tanjung Pagar Ternyata suria di bumimu cukup cerah dan cukup indah Menyambut kami dengan cukup segar - dan senyum Pak Djamal yang sangat mekar Kami bersarapan pagi sementara mengisi perut yang lapar.
Ah, Singapura! Menurunimu mengingatkan kami kepada sejarah panjang bangsa Menyedut udaramu membangkitkan rindu yang membara, dan menyala di dalam jiwa Betapa pada satu masa dulu di peta dunia - dalam satu garisan negara yang sama, kita pernah dikumpul bersama.
Namun barangkali kami masih terlalu muda Untuk menyedari golak-gelojak politikus berebut kuasa berbalah di meja polemik, bertingkah di padang sentimen berkejar di ranjau emosi - bermain api Dan selepas puluhan tahun hidup berasing negeri Leluhur kami di sini Semakin dilupa dan sirna Di tangan anak cucu sendiri.
Singapura, bumi da'wah subur tanah makmur dengan penduduk jiwa luhur Kami, sekumpulan anak muda Malaysia Saudara kandungmu di utara negara Datang ke jantungmu, mencari sebahagian hati yang tertinggal di sini Menjejak jejak nusa yang masih ada - dengan cita-cita besar, dan harapan lebar Untuk mencari besi-besi penyambung rantai panjang perjalanan da'wah Menerus legasi ummah Doakanlah kami agar tidak mudah menyerah!
Muhammadiyah, 16 November 2008.
Dideklamasikan dalam dialog bersama tenaga pengajar Kolej Muhammadiyah dalam program lawatan ke Singapura pada 16 November 2008. Sebuah sajak segera yang dicipta tergesa-gesa demi memenuhi tuntutan majlis. Namun, Alhamdulillah, di dalamnya ada jiwa.
Sewaktu negara ini terbina Dari kukuh tiang-tiang semangat dan tegap pasak-pasak jasad Di atas tanah subur dengan tangan dan jiwa luhur Di sebaliknya adalah tenaga Yang tercurah dan terperah dari perit-jerih keringat Insan-insan mulia - manusia yang keras bekerja dan tidak pernah mengenal penat.
Dari ceruk mana pun engkau datang dan di sudut mana pun engkau mengisi ruang hadirmu memberi makna yang panjang kepada pendewasaan sebuah negara mencabar dan memperkasa dengan semangat juangmu yang sentiasa besar, segar dan gemar menabur jasa.
Aku hanya melihat sebuah negara ini yang telah merdeka bertegak bangga seperti muda belianya seorang jejaka tetapi sering aku terlupa untuk menjenguk di bawah sana rupanya ada golongan pendukung yang selamanya berentap dan bertarung sandar-menyandar dan saling menyokong mendorong dan sering dirongrong.
Engkau pekerja adalah wira yang tidak didendang Membanting tulang empat kerat di tengah ladang berpacat dan berlumpur di petak bendang menahan bahang laut demi sejaring ikan dan udang berembun menyembah getah sebelum tinggi bayang-bayang berbaris gigil di sejuk dinihari menanti kedatangan bas dari kilang di perbatasan berjuang tanpa isteri hanya berteman selaras senapang di baris hadapan memberkas petualang mempertahan kedaulatan undang-undang menjaga sempadan negara dari diceroboh pendatang tidak diundang gigih mendidik anak bangsa di sekolah ceruk hulu Ulu Beranang mengubat sakit pening warga tua dan muda di hospital tidak kira malam siang sabar menunggu gilir membayar tol di deret kendera yang panjang terkadang menyumpah-seranah lantaran traffic jam yang tak pernah lekang dimarah majikan kerana punch-card merah berulang-ulang
Engkau pekerja adalah tonggak nusa selamanya menabur jasa engkau membuang ke tepi rasa gundah dan putus asa engkau menerjang ke sisi rasa lemah dan rasa selesa engkau manusia biasa yang tidak punya kudrat sebesar raksasa tetapi tetap engkau berbakti dengan semua yang ada tanpa rasa terpaksa engkau tabah, cekal mencapai cita-cita demi sentosa demi Tuhan Yang Esa.
Dari satu impian dan satu harapan kita melangkah menuju satu jalan kita bekerja bukan untuk insan kita bekerja bukan untuk makan kita bekerja bukan untuk majikan kita bekerja bukan untuk jawatan kita bekerja bukan untuk kekuasaan kita bekerja hanya kerana Tuhan
kita bekerja hanya kerana Tuhan.
Dideklamasikan sempena Sambutan Hari Pekerja dan Wacana Pekerja Kebangsaan anjuran Lajnah Pekerja PAS Pusat di Stadium Malawati, Shah Alam pada 4 Mei 2008.
Kebebasan itu tidak bercokol di jari-jemari kasar sang penguasa maka mereka kita gugah kerana kebebasan itu kita mahu - walau barang sejengkal guna kita bernafas dan demi memelihara akal.
Tetapi dengan kebebasan itu - yang kita tidak punya biar sejengkal cuma di jari-jemari kita masih mampu mencubit telinga mahupun mengetuk kepala kita yang jendul kerana di jari-jemari kita sendiri pun kebebasan itu tidak mampu bercokol.
Subang Jaya 28 Oktober 2008
Sebagai reaksi di atas sikap latah politikus Pakatan Rakyat terhadap cerpen Datuk Chamil Wariya, "Politik Baru YB J" yang tersiar di Utusan Malaysia.
Assalamualaikum, kawan-kawan! Apa khabar semua? Ada sihat hari ni? Bukan apa Kita cuma nak beritahu Sekarang sudah masuk bulan lapan Bulan ni kita banyak main-main.
Bulan ni selalu tak belajar Sebab cikgu jarang masuk kelas Kawan-kawan pun ramai berlatih persembahan Menyanyi, bersyair, berzapin, berlakon Menari, berdikir, boria, berpantun Kita pun cikgu suruh baca sajak nanti Nanti kita duduk “di bawah pohon sejarah” Kita pun tak tahu pohon sejarah itu apa “Macam pokok rambutan ke?” kita tanya cikgu Tapi cikgu suruh kita baca saja Jangan tanya.
Kawan-kawan, Kita cuma nak beritahu Bulan ni kita banyak nyanyi-nyanyi Lagu Keranamu Malaysia, lagu Sudirman, lagu Datuk Siti Lagu Bahtera Merdeka, lagu Negaraku, lagu Jalur Gemilang Kadang-kadang sampai dua-tiga kali cikgu suruh kita berlatih, sampai kita letih Sebab itu kawan-kawan jangan lupa Bawa air botol dalam dua-tiga.
Ada lagi satu, kawan-kawan Kita cuma nak beritahu Ni penting, ni Kawan-kawan kalau nak tulis haribulan Dalam buku latihan Atau masa buat ujian bulanan Kawan-kawan tulis “Ogos” tau “Ogos” O-G-O-S Bukan “August” Yang cikgu ajar tu salah.
Musim baru ini hujan masih belum turun Tanah kami masih belum subur Di atasnya yang merekah, rumput pun telah pecah Benih harap yang kami tabur berbunga lalang Menumbuhkan lalang-lalang panjang, kasar dan berceragah.
“Apa diharap padi seberang, Padi seberang tidak menjadi; Apa diharap kasihnya orang; Kasihnya orang, orang tak sudi.”
Panas ini bukan dari matahari Panas ini dari bumi Kemanusiaan telah disumpah datuk-nenek leluhur Dari dalam kubur Wajah-wajah telah menjadi rencam warna Bagai sesumpah Dan kami meninggalkan legasi kacau-racau-rancu Kepada anak cucu
“Payang retak tali bersimpul, Kendi lokan airnya tumpah; Hidup tidak kerana kaul, Mati bukan kerana sumpah.”
Mata air telah kering, pun air mata Mengesatnya menambah garam pada luka, hanya Mencakar hati Menanam benci Sementara menunggu mati Kami tidak mahu disembelih berkali-kali
“Tudung periuk pandai menari, Menari lagu putera mahkota; Kain yang buruk berikan kami, Buat mengelap si air mata.”
Lama sebelum api harapan itu dinyala dari kandil marhaen paling kerdil kami telah menjadi kejur dalam gebar gelap sunyi terbaring tidak berdiri mengerekot menunggu mati yang tiba entah berapa hari lagi.
Tetapi rupanya masing-masing ada menyimpan bara dalam diam dan mendekam terpenjara hanya menunggu silir perubahan berhembus perlahan dari puncak gunung besi yang bersemangat sakti sedikit-sedikit dan bertahan lama-lama menjadi taufan.
Apabila saat itu tiba, dengan gagah kami berdiri di atas kaki sendiri, megah berganding dan melebar melenting dan membuang sabar sehingga api di kandil raksasa yang membakar hampir-hampir sahaja menjilat bunga doa yang baru mengenal mekar
Hari sudah pun gelap dan dahaga paksa aku lelap sewaktu kau datang membawa seberkas cahaya cinta di tangan kanan, dan sebejana air kasih di tangan kiri.
Lalu dengan terang dan kenyang yang aku raih dari karung keikhlasanmu kita bagaikan berpimpin menuju jalan lurus dari satu tujuan dan harapan Membasuh lumpur-lumpur duka yang berlumur di kaki dan membebat luka-luka jiwa yang berdarah di hati.
Sayang, Betapa kadangkala aku akan sering terlupa menafsir sabar di lembar rasa kerana sering ujian yang datang menimpa – bagai tiris hujan tidak dapat aku tahan sendiri dengan tangan lalu aku basah dan perjalanan kita resah.
Namun dengan tenang wajah dan lunak suara dari roman ramah dan raut mesra dirimu yang setia, aku bakal teringat semula biar disuguh rawan dan ditindih hujan ujian, kita harus tetap terus berjalan.
Dan terima kasih atas semua yang kauberi Di hari ulangtahun ini, aku seharusnya mahu lebih banyak memuji.
Ke manakah perginya Pemimpin nombor satu negara Di sini atau Australia Di Macau atau Amerika
“Tak apalah… Saya pergi pun bukannya lama Kalau orang nak kata apa-apa Melanconglah Honeymoonlah Bercutilah Biarlah Ini semua cakap-cakap mereka saja Sengaja mereka reka-reka cerita Ini biasalah...”
Sehebat-hebat Jamil pun cuma dengan Madu Tiga berlagak juara dengan kata “Dunia ini ana yang punya!” tapi kamu walau hanya mampu berkendera roda dua tanpa helmet dan nombor plet segala tetap lebih perkasa memanggil rapat isteri-isterimu yang berjumlah empat
Tidak kautakut dengan polis trafik atau JPJ pengeluar saman, denda dan penalti atau dengan bahaya yang menanti di depan mata kerana kau di atas sana begitu bahagia bermotosikal berlima bagai di dalam syurga firdausi “Kalau tercicir satu, si isteri tua, di belakang sekali,” katamu di dalam hati “Masih ada lagi tiga setia menanti.”
Tetapi tanpa kauduga sama sekali isterimu yang paling muda, yang begitu ayu tersengih manja tiba-tiba berkata, “Bang, bang!” kata dia antara desir angin yang menampar pipi “Lepas ni kita naik basikal sahaja balik, ya” “Motosikal ini ayah mahu ambil semula”
Dan kau hampir terlanggar seorang perempuan tua!
2 Februari 2008 (Sempena Sayembara Sajak Jenaka (Sajen) esastera.com)
Sebelum Lembar Ditukar (Sempena Tahun Baru 1429 Hijrah)
Beberapa jam lagi sebelum kalendar Qamar bertukar lembar catatan lama diangkat dan catatan baru bakal terlakar tapi nafsu masih kuda liar memijak iman dan menghenyak sabar hingga ke dasar.
Ah, sesal ini sering mungkir oleh dosa yang membiasa bertukar dan bergulir bergantian dan mengambil gilir kelirukan gelap dengan sinar entah mana mungkar mana benar.
Sehingga nanti apabila nafas sudah hendak keluar moga-moga yang terlafaz ialah syahadah yang lancar.
Maka terbuka juga di dada Busuk pekung memekung Walau cuba kausorok kaukurung Dalam selimut tebal yang mahal Bilik hotel yang kebal Tapi musuh itu dalam selimutmu sendiri Menunggu sahaja masa mengeluarkan belati Menikam dirimu yang enak diulit mimpi Mungkin engkau tidak pernah sangka Hari itu kau ‘kan ditimpa celaka Rahsia yang tersorok di bawah bantal Dijaja percuma begitu sahaja tanpa dijual Tapi kaujuga wajar ketawa Kerana kautidak akan didakwa Kerana pemimpin atasanmu itu yang nombor satu Cintakan bantal jauh lebih dari kamu
Sebenarnya terlalu payah untuk mencari kata-kata indah, menterjemah sosok dan tampang dirimu yang telah lewat separuh usia namun gelora dalam jiwa yang tersorok di tenang wajah kami percaya ia tidak pernah tua biar sesaat cuma kerana gigih perit-jerih yang lahir dari fikir dan tindak laku getir darimu tidak akan sempat jadi sejarah melainkan terus bergerak, menjarak dan menjarah kepalsuan dan ketidakbetulan yang melata.
Barangkali kami belum sempat menduga atau tidak pernah mengira helai-helai putih di rambutmu atau garis-garis pedih di mukamu adakah sudah bertambah kerana yang sering kautunjukkan kepada kami hanyalah rangkaian pengajaran dan pengalaman yang segar dan membakar berterusan dan tidak jemu biar terkadang kami culas dan cuba mencari alasan.
Terima kasih di atas cerita-cerita yang kausampaikan terkadang persis Pawang Ana pencerita Awang Sulung Merah Muda dari diari merahmu yang sering runcing dengan idealisme penyedar untuk kami jadikan landas semasa bertatih dan tempat bersandar semasa letih.
Sebenarnya terlalu payah, Encik Annuar! Untuk mencari cara menghargai kerana penghargaan itu sendiri di dalam dirimu sudah menyebati.
Tidaklah aku tahu sebelum itu, kawan Hatimu yang dulu kekeringan cinta dan wajahmu yang sering kontang air mata rupanya telah segar dan basah digenangi kali dari jeram deras jiwa belas yang sangat kaya dengan ikan semangat dan air sejuknya yang pantas membebat.
Barangkali lembar hiba yang menyorok garis senyum di bibirmu telah tersobek oleh tajam masa lalu gelak-tawamu yang lama terkurung jauh di hulu jantung tidak mampu engkau sendiri sembunyi sehingga ia terlukis begitu cantik di wajahmu.
Amanlah dirimu hendaknya berpasang tampang kesetiaan yang ikhlas memuja dan kuat mendoa kebahagiaanmu.
Barulah kutahu selepas itu, kawan Hatimu yang dulu kekeringan cinta dan wajahmu yang sering kontang air mata rupanya telah penuh dengan bunga-bunga wangi
Lorong-lorong rindu Bersemilir dipuput bayu sendu Basah di remang-remang detik masa cemburu Menggenangi aspal kenangan lalu Penungguan ini sememangnya menderitakan Walau dihibur penglipur lara penyampai hikayat Pemain sandiwara cereka bahagia Penyair madah cinta pujangga dewata Aku tetap tahu semua itu dusta semata Mainan rasa pengabur jiwa lara Sedang bunga rahsia penuh harga wangian semesta Masih bersembunyi di tamanan larangan kayangan Begitu segar mekar menjalar terpagar Terpelihara sejahtera tanpa cela dan cedera Menunggu seperti aku Untuk dipetik pahlawan-pelawan juara medan perang nafsu gelora Yang entah masih ada Dan aku terus menunggu; seperti dungu Untuk si bunga idaman jatuh ke ribaku.
Tanpa destinasi mahupun janji Penantian ini akan terus Segar dan tegar Masa sudah lama berhenti Lohong hitam ini hanya ada ruang Untuk meneruskan perjalanan penantian Yang mati Durjana rasa menghulur tangan kudung harapan Kami tidak mahu bangkit dari kematian Yang kami tempuh sejak lahir Luasnya pandangan mata hati Tulus suci murni sesuci bayi Terkurung sejahtera dalam rahim perlindungan Dalam dunia di mana hanya ada dia dan Dia Sepuasnya ingatan kasih syukur puji tertumpah melimpah Menjunjung taat ke puncak Tanpa izin-Nya kau takkan masuk syurga
Setompok darah pekat keras lama-lama berkarat dalam kelam bilik mandi mengapung bau busuk dan kepam Pengap Gelap Kecuali sebaris cahaya dari tingkap kaca yang tidak lagi berkaca Pecah semua oleh sebatang tangan kurus dan mulus tidak lagi bermaya kerana di dalamnya sudah banyak kaca.
Engkau mainkan senandung lagu lama Sewaktu engkau menolak aku Sebelum aku jatuh Engkau telah terlebih dulu aku ludah Di atas tanah aku dengar Lagu lama itu berhenti Bila ludahku kering di mukamu Kerana ada tangan yang mengelapnya Tangan yang ingin sekali aku cincang putus
Sewaktu manusia itu datang membimbit kebodohannya Dalam bakul nista, tergaul Dengan dengki dan dendam yang tidak kami ketahui punca Mahu mengacah, mahu jadi pemecah Mahu…., entah!
Dari aksara yang membentuk kata menghantar makna kamu manusia kurang bahasa sengaja mencari musuh merempuh budaya yang ingin dibina menikam kejam pencinta bangsa tanpa wibawa tanpa susila hanya menunjuk gila
Maka kami menghantar bahasa gusar pada ruang-ruang kata yang terpapar “Pergilah kamu bersama kebodohan yang kaujulang Di sini tiada cukup ruang untuk seorang petualang”
Persiap senjatamu menuju Al-Qadar kerana medan Ramadan ini lebih tegar daripada Badar
Taqwa yang kaurujuk lewat wahyu Seratus lapan puluh tiga, Al-Baqarah Bukan hadir melulu tanpa diburu Tanpa mujahadah 'Ammarah tidak akan jadi Muthmainnah
Di bahu jalan paling pangkal Atas jambatan, Sungai Klang Seorang lelaki Bawah tiang lampu mahal MPK Beralas kertas kotak kuning, berbaring Dengan kaki bersilang Hitam tubuhnya hitam Menyapu aspal Menelan asap tebal Menggonggong rokok kumal Hitam mimpinya hitam Sehitam gelap malam Tanpa bulan Tanpa bintang Ah, ribuan mata memandang! Dari belakang tingkap Honda Pada pantul cermin sisi Wira Balik helmet penunggang kapcai tua
Malam itu di hujung henfon Sewaktu angin mula-mula Basah direnjis embun Gigil-geletarku makin larut Disergah desir dingin, juga Esakanmu yang kian menghenjut Rajuk dari tangismu yang menitis Adalah bahasa cemburu Yang kemudiannya Menjadi sajak cinta paling puitis Dari kamus cinta kau tunjukiku makna setia Pabila ikhlasmu bersuara Aku jadi manusia kehilangan kata Dan untuk beberapa jeda Kita sama-sama dibunuh sepi Sehinggalah kesalku berganti dan tangismu berhenti
Malam tadi di depan tv Aku lihat Terpapar resah mendesah Bersama seribu gelisah Ada jiwa-jiwa bergetar, kerana Ada tiang-tiang bergegar Desir angin gusar melayah rendah Menghembus debu di celah-celah simen konkrit yang rekah Namun, sebenarnya Jejambat ini selamat, kata menteri Jangan hasut fikiran rakyat Kamu semua tidak akan mati cepat Dalam perjalanan ke pejabat.
Lelaki muda bertampang tua Di hujung lorong Berjalan tanpa kaki kedua Disindir anjing Diejek aspal Dihina longkang Pada belakang badannya yang telanjang Ada tatu berlambang hati Bertulis “Cinta” Bertulis “Maya” Bertulis “Selamanya" Budak kecil di dalam sampah itu barangkali anaknya Tetapi pasti bukan dengan Maya Kerana cinta Maya selamanya Sehingga tiba di jalan mati Lelaki muda berhenti Dia juga ingin mati Seperti Maya Yang jatuh ke dalam gaung Dalam perjalanan pulang mereka Satu malam merdeka Dilanggar lori ayam Kakinya putus, dan Maya mampus Di tepi tembok, belakang kedai 4D Dengan botol todi yang pecah Dia ingin tulis nama Maya Di atas kaki Kaki yang satu lagi Sakit……!!!!!!!!!!! Sakit..…..!!!!! Sakit… …
Risau keluar dari kami Tentang esok Adakah boleh duduk lagi di sini Bumi ini kami tarah dengan tulang Siram dengan peluh Baja dengan darah Sewaktu tanah ini masih kasar Tiada tempat teduh sewaktu matahari membakar Kami datang menghalau anjing Apabila tiang-tiang dicacak Daerah harapan kami di sini Menganyam mimpi Hidup sehingga seribu tahun lagi
Kakak-kakak melahirkan anak Yang membesar bermain pasir di atas bukit Tempat tangan mereka jadi kasar Cuma untuk melihat dengan lebih jelas dari sana Jentolak yang macam raksasa Perlahan-lahan menuju ke mari
Lapan belas tahun dan hari ini Kami diajak bermula kembali Ke daerah baru yang asing Untuk kami pugar Dengan tangan-tangan kami yang kasar Lalu meninggalkan mimpi-mimpi permai Hanyut ke dalam sungai
Lapan belas tahun dan hari ini Kami diminta keluar segera Dari tanah tempat darah tertumpah Tempat menyeka lelah Pembangunan agaknya sudah lupa Kami juga pernah berjasa
Nanti, Di depan jentolak kemajuan itu Apabila kami keluarkan Tangan-tangan kami yang kasar Kami akan berkata Dengan tangan ini Dengan tangan ini, setinggan ini Akan kami robohkan sendiri
Kuselak cebisan sejarah silam Bab pengalaman, perenggan kenangan Ceritanya masih ada, cuma Sudah agak kuning dengan kotoran lupa Dan lompong di sini-sana Barangkali digigit anai-anai usia
Gembira, sedih, ceria dan nestapa Tersusun dalam ayat berbunga Tawa dan tangis Dilurut begitu puitis Persahabatan, pengorbanan, setiakawan Dijalin sempurna perenggan demi perenggan Tidak tertinggal kecewa dan pengkhianatan Tercerita bagai oleh penglipur lara dari kayangan Mengisi khayal di ruang ingatan
Cebisan-cebisan itu tidak menipu Walau dihanyut ruang dan waktu Kukumpul semula semua cebis yang ada Kusunting leka, kugunting khayal sia-sia Kutampal cita-cita, kulekat harapan membina Menjadi kitab rujukan berguna Guna menghadap hari-hari muka