Tuesday, November 28, 2006

Mati



Rasa itu telah aku tendang ke dalam kubur
Kutulis "ro"-"alif"-"sin"-"alif" pada nisannya.


Klang
27 November 2006

Monday, November 20, 2006

Muntah

Lambakan sajak-sajak enak
Dalam tempayan aku makan
Sampai masa aku senak
Pergi keluar cari jamban


Port Klang
4 Februari 2006

Untuk Pelukis Gila

Lukisan-lukisan itu
Adalah rantau dan cemeti
Buat membantai kamu di neraka nanti


Port Klang
15 Februari 2006
(sumpahan kepada penghina Nabi Muhammad di akhbar Jyllands-Morten)

Mahu atau Tidak?

Persiap senjatamu
menuju Al-Qadar
kerana medan Ramadan ini lebih tegar
daripada Badar

Taqwa yang kaurujuk lewat wahyu
Seratus lapan puluh tiga, Al-Baqarah
Bukan hadir melulu tanpa diburu
Tanpa mujahadah
'Ammarah tidak akan jadi Muthmainnah

Jika malas
Tewaslah sahaja tanpa was-was


Klang
6 Oktober 2006

Sajak Cinta Pada Kali Pertama (II)

Memekar rindu
Tanpa sedar
Lantai hati terbakar
Senyummu madu
Aku yang terus dungu
Dan gementar


Kesang Tua
2004

Sajak Cinta Pada Kali Pertama

Cinta yang jatuh
Tanpa upaya
Untuk menahan
Dan ingatan menjauh
Terus ke kaki masa
Yang menjejaknya.


Kesang Tua,
2004

Lelaki di Jambatan

Di bahu jalan paling pangkal
Atas jambatan, Sungai Klang
Seorang lelaki
Bawah tiang lampu mahal MPK
Beralas kertas kotak kuning, berbaring
Dengan kaki bersilang
Hitam tubuhnya hitam
Menyapu aspal
Menelan asap tebal
Menggonggong rokok kumal
Hitam mimpinya hitam
Sehitam gelap malam
Tanpa bulan
Tanpa bintang
Ah, ribuan mata memandang!
Dari belakang tingkap Honda
Pada pantul cermin sisi Wira
Balik helmet penunggang kapcai tua

Sekadar memandang (sebagai binatang)
Sekadar memandang.


Klang,
13 Mei 2006.

Sajak Cinta Yang Seterusnya

Malam itu di hujung henfon
Sewaktu angin mula-mula
Basah direnjis embun
Gigil-geletarku makin larut
Disergah desir dingin, juga
Esakanmu yang kian menghenjut
Rajuk dari tangismu yang menitis
Adalah bahasa cemburu
Yang kemudiannya
Menjadi sajak cinta paling puitis
Dari kamus cinta kau tunjukiku makna setia
Pabila ikhlasmu bersuara
Aku jadi manusia kehilangan kata
Dan untuk beberapa jeda
Kita sama-sama dibunuh sepi
Sehinggalah kesalku berganti dan tangismu berhenti

Masa seperti tidak mahu berjalan lagi.




Pelabuhan Klang,
11 Februari 2006

Resah Jejambat

Malam tadi di depan tv
Aku lihat
Terpapar resah mendesah
Bersama seribu gelisah
Ada jiwa-jiwa bergetar, kerana
Ada tiang-tiang bergegar
Desir angin gusar melayah rendah
Menghembus debu di celah-celah
simen konkrit yang rekah
Namun, sebenarnya
Jejambat ini selamat, kata menteri
Jangan hasut fikiran rakyat
Kamu semua tidak akan mati cepat
Dalam perjalanan ke pejabat.

Maya

Lelaki muda bertampang tua
Di hujung lorong
Berjalan tanpa kaki kedua
Disindir anjing
Diejek aspal
Dihina longkang
Pada belakang badannya yang telanjang
Ada tatu berlambang hati
Bertulis “Cinta”
Bertulis “Maya”
Bertulis “Selamanya"
Budak kecil di dalam sampah itu barangkali anaknya
Tetapi pasti bukan dengan Maya
Kerana cinta Maya selamanya
Sehingga tiba di jalan mati
Lelaki muda berhenti
Dia juga ingin mati
Seperti Maya
Yang jatuh ke dalam gaung
Dalam perjalanan pulang mereka
Satu malam merdeka
Dilanggar lori ayam
Kakinya putus, dan Maya
mampus
Di tepi tembok, belakang kedai 4D
Dengan botol todi yang pecah
Dia ingin tulis nama Maya
Di atas kaki
Kaki yang satu lagi
Sakit……!!!!!!!!!!!
Sakit..…..!!!!!
Sakit…


Dia memang cintakan Maya.


Klang
21 Mac 2006

Tangan-tangan Kasar

Risau keluar dari kami
Tentang esok
Adakah boleh duduk lagi di sini
Bumi ini kami tarah dengan tulang
Siram dengan peluh
Baja dengan darah
Sewaktu tanah ini masih kasar
Tiada tempat teduh sewaktu matahari membakar
Kami datang menghalau anjing
Apabila tiang-tiang dicacak
Daerah harapan kami di sini
Menganyam mimpi
Hidup sehingga seribu tahun lagi

Kakak-kakak melahirkan anak
Yang membesar bermain pasir di atas bukit
Tempat tangan mereka jadi kasar
Cuma untuk melihat dengan lebih jelas dari sana
Jentolak yang macam raksasa
Perlahan-lahan menuju ke mari

Lapan belas tahun dan hari ini
Kami diajak bermula kembali
Ke daerah baru yang asing
Untuk kami pugar
Dengan tangan-tangan kami yang kasar
Lalu meninggalkan mimpi-mimpi permai
Hanyut ke dalam sungai

Lapan belas tahun dan hari ini
Kami diminta keluar segera
Dari tanah tempat darah tertumpah
Tempat menyeka lelah
Pembangunan agaknya sudah lupa
Kami juga pernah berjasa

Nanti,
Di depan jentolak kemajuan itu
Apabila kami keluarkan
Tangan-tangan kami yang kasar
Kami akan berkata
Dengan tangan ini
Dengan tangan ini, setinggan ini
Akan kami robohkan sendiri



-negrimajuduaribulima-

Wednesday, November 15, 2006

Bermain Dengan Kenangan

Kuselak cebisan sejarah silam
Bab pengalaman, perenggan kenangan
Ceritanya masih ada, cuma
Sudah agak kuning dengan kotoran lupa
Dan lompong di sini-sana
Barangkali digigit anai-anai usia

Gembira, sedih, ceria dan nestapa
Tersusun dalam ayat berbunga
Tawa dan tangis
Dilurut begitu puitis
Persahabatan, pengorbanan, setiakawan
Dijalin sempurna perenggan demi perenggan
Tidak tertinggal kecewa dan pengkhianatan
Tercerita bagai oleh penglipur lara dari kayangan
Mengisi khayal di ruang ingatan

Cebisan-cebisan itu tidak menipu
Walau dihanyut ruang dan waktu
Kukumpul semula semua cebis yang ada
Kusunting leka, kugunting khayal sia-sia
Kutampal cita-cita, kulekat harapan membina
Menjadi kitab rujukan berguna
Guna menghadap hari-hari muka


Kesang Tua
2003