Tuesday, October 06, 2009

Saudara-saudara Kami Yang Mati

selamanya bahasa Tuhan masih tidak difahami
lewat gegar lewat runtuh lewat raung lewat darah
merah bercampur hitam dan coklat tanah
sedikit bara yang terpercik ke bumi
menjadi api menjadi
sangkakala mencabut nyawa saudara kami

“kiamat kecil,” kata mereka
pun yang ternampak di mata kami barangkali secubit
cuma dari sepadang derita
juraian darah dan air mata
barangkali belum cukup mengetuk
pintu hati kami minta dibuka

kita bercakap tentang simpati tentang
ratusan orang mati
kita mahu mendidik diri mahu
jadi orang yang tahu diri
kita cukup gusar kantung amal belum
cukup besar

kita belum mahu mati lagi
kita harap kita tidak kena gempa bumi



PJ Selatan
6 Oktober 2009

Friday, October 02, 2009

Kamu Tentukan Sendiri

Setiapnya adalah tahap-tahap yang berbeza
Sewaktu kita menyangka dalam satu
bulatan terkumpul satu pemikiran
Sering saja ada yang lebih pandai
dan mahu
mengeluarkan mafhumnya dari sekolah yang berlainan.

Adakah ia satu jalan menuju kematangan atau
kemalangan
aku tidak tahu.

Benarkah ini wacana
atau sebenarnya
ada sesuatu yang tidak kena.

Jika amanah mahu diganti dengan
wibawa berupa anugerah
Simpankan ia ke dalam poket kot bergayamu
Ia terlalu mahal berbanding kain gombang kami yang kusam

Atau adakah taklif disangka tasyrif?

Jika benar, ia
maaf,
pada masa depan yang menunggu
kami tidak lagi punya biaya untuk kamu.


PJ Selatan
3 Oktober 2009

Tuesday, July 07, 2009

Salah Tak Salah

Jika bersalah pendapat itu salah
Tiadalah pendapat bernama pendapat
Jika berbeza pandang itu dilarang
Biar gelap saja tak perlu memandang

Bersalahan itu tidak salah
Yang salah ialah menyalah.



Rantau Panjang, Klang
3 Julai 2009

Tuesday, June 23, 2009

Masquerade


antara menghayati pendirian
dengan bujukan liar yang kuat disogok
kita sering keliru lalu terjepit antara keduanya
percubaan sungguh-sungguh kita melepaskan diri
menyebabkan kita ditawar lagi
harapan-harapan baru kesekian kali
yang galak dan manis
wajah menjemput, tapi kudung
tangannya.

melihat wira-wira di muka
kita ingin ke sana dengan mereka yang
menjulang tangan, tinggi mengacung langit
di cuping telinga,
di balik muka yang sering senyum
sebalik berbisik perlahan, ingin kita jerit
“Lepaskan aku!!!”

dan topeng yang terikat di muka mereka
kita cabut
serta hinjak-hinjak di tanah.


Petaling Jaya Selatan
23 Jun 2009

Thursday, June 18, 2009

Bakti Bahasa

Menaungi rumah bangsa
dari panas derita globalisasi
dari badai pemusnah penjarah peradaban
juga hujan penghapus tinta sejarah
adalah tugas bahasa.

Menyuluh rumah bangsa jadi terang
juga tugas bahasa.

Memudarnya hanya membuang jati diri
melemah identiti.

Bahasa itu jiwa, malah nyawa
Mencabutnya dari bangsa bererti
menyemadi diri enam kaki di bawah tanah.

Seperti meletak noktah pada ayat
perjalanan bangsa juga akan berakhir
jika bahasa tidak lagi berlari di hujung bibir.


Klang
Jun 2009

Thursday, April 02, 2009

Seorang Petapa Yang Mahu Menyanyi

Barangkali angin telah bosan mengiring malam
awan tidak ada di dada langit
unggas yang panas keluar dari sarang
udara beku
bulan sangat besar
masa seperti berhenti.

Seorang petapa mahu menyanyi lagu cintanya kepada Tuhan
dengan bejana berisi air iman
dia menyiram api di dalam dirinya sendiri.


Petaling Jaya,
2 April 2009.

Tuesday, March 03, 2009

Demokrasi Di Bawah Pokok

Selamanya laungan “Hidup Rakyat” menjadi penyegar
setelah lelah menonton drama klasik pelaku siasah
di pentas terbuka yang belum mahu sudah
keadilan walau cuba dilakon-lakonkan
di tangan penonton ia tetap milik mutlak pendukung kebenaran.

Penjujur, pengikhlas bukan topeng watak yang boleh dipakai
di baliknya wajah busuk itu boleh dibau
melainkan hati yang dipateri ego dan kebodohan
sang pembeza tetap tahu antara kemenangan yang direncana
dengan upaya yang belum berjaya.

Si pemunya kuasa yang mahu memunya semua
punya negara punya istana punya dewan segala
tiada punya upaya memunyai hati penduduk negeri
maka hari ini di bawah pohon
pemunya semangat jati demokrasi ingin bersuara
“Biar kami tidak punya dewan,
Kami punya hati rakyat yang tidak mudah ditawan”


Petaling Jaya – “Ipoh”
3 Mac 2009

Monday, March 02, 2009

Demi Malam, Apabila Telah Sunyi

Seperti buram, malam pun telah larut
hujan baru reda dan angin masih sangat lembut
dari ruang bilik yang belum mahu bermimpi
lewat jendela yang separuh terbuka
di dada langit
bintang tidak ada.

Seorang pendoa
dengan linangan dosa
menunggu datang cahaya.


Rantau Panjang
1 Mac 2009

Wednesday, February 25, 2009

Kereta Api Yang Sering Lewat


Waktu seperti biasa sudah terlalu lewat apabila tren tiba
sepertinya mahu menghantar kami lebih dulu ke daerah gusar
sebelum maju ke destinasi yang ingin kami tuju
berasak di pintu yang terbuka hanyalah secalit warna
dari lukisan yang tercat di kanvas Malaysia
selebihnya ialah rona-rona berbaur maki, nista dan benci
di dalam hati.

“Stesen berikutnya, Batu Tiga”

Ruang gerabak sebesar itu hanya sebenarnya seluas dua tapak kaki
masuk ke perutnya bermakna kamu tidak dapat melangkah lagi
antara pengap udara yang terkepung dan bau kepam yang terapung
kamu sebetulnya terkurung
dalam kumpulan manusia sekian banyak ragam dan cara
tetapi hanya di dalam ruang yang sebesar ini
semuanya seperti jadi bisu jadi tuli.

“Stesen berikutnya, Padang Jawa”

Dari dalam gerabak lewat jendelanya yang kaca
pandanganku tertancap pada bangunan-bangunan tinggi separuh siap
berjejer di pinggir jalan umpama para pengawal yang setia
dan agam tampangnya – mencakar langit
teguh berdiri di sisi bukit telah ditarah sehingga ke lantai bumi
dan di dalamnya ialah pengungsi dari buruh warga seberang
berkongsi diam perempuan dengan laki-laki.

“Stesen berikutnya, Kelang”

Sehingga tiba ke tempat pulang
aku berdiri sehingga kebas kaki
stesen terakhir tempat kubuang penat di celah-celah rel besi
esok aku akan datang semula ke sini
menunggu tren yang mungkin datang lewat lagi.


Klang-Setia Jaya
23-26 Februari 2009

Wednesday, January 28, 2009

Di Bawah Suria Singapura

Kami melewatimu sewaktu hari masih terlalu muda
Dalam gerabak panjang mel Senandung Malam,
bulan penuh malam Dzulqa'idah mengiring kami sehingga ke Tanjung Pagar
Ternyata suria di bumimu cukup cerah
dan cukup indah
Menyambut kami dengan cukup segar - dan senyum Pak Djamal
yang sangat mekar
Kami bersarapan pagi sementara
mengisi perut yang lapar.

Ah, Singapura!
Menurunimu mengingatkan kami kepada sejarah panjang bangsa
Menyedut udaramu membangkitkan rindu
yang membara, dan menyala
di dalam jiwa
Betapa pada satu masa dulu di peta dunia - dalam satu
garisan negara yang sama,
kita pernah dikumpul bersama.

Namun barangkali kami masih terlalu muda
Untuk menyedari golak-gelojak politikus berebut kuasa
berbalah di meja polemik, bertingkah di padang sentimen
berkejar di ranjau emosi - bermain api
Dan selepas puluhan tahun hidup berasing negeri
Leluhur kami di sini
Semakin dilupa dan sirna
Di tangan anak cucu sendiri.

Singapura, bumi da'wah subur tanah makmur
dengan penduduk jiwa luhur
Kami, sekumpulan anak muda Malaysia
Saudara kandungmu di utara negara
Datang ke jantungmu, mencari sebahagian hati
yang tertinggal di sini
Menjejak jejak nusa yang masih ada - dengan
cita-cita besar, dan harapan lebar
Untuk mencari besi-besi penyambung
rantai panjang perjalanan da'wah
Menerus legasi ummah
Doakanlah kami agar tidak mudah menyerah!



Muhammadiyah,
16 November 2008.

Dideklamasikan dalam dialog bersama tenaga pengajar Kolej Muhammadiyah dalam program lawatan ke Singapura pada 16 November 2008. Sebuah sajak segera yang dicipta tergesa-gesa demi memenuhi tuntutan majlis. Namun, Alhamdulillah, di dalamnya ada jiwa.

Monday, January 12, 2009

Di Bawah Langit Yang Tidak Sama (Dengan Apologi Panjang Kepada Palestina)

Itu langit. Lihatlah.
Di sana ada tenang.

Alhamdulillah.
Tiada peluru berpandu datang.


Bandar Sunway,
7 Januari 2009.