Waktu telah begitu panjang sejak
kita tidak bersua
Dan apabila muncul kesempatan
pertemuan ini amat
manis untuk
ditelan begitu saja
Kau tetap sama
Begitu masa beredar,
aku masih yang lama
Siapakah yang memotong
takdir menjadi keping-keping
memisahkan kita?
Siapakah juga
menyempurnakan
kejadianmu sebagai
seorang manusia dewasa?
Dan selepas beberapa
patah kata,
aku harus pergi
Namun sebaris senyummu
telah menjadi tali
Mengikat kakiku seperti
tidak membenarkan kau
ditinggalkan lagi.