Monday, October 31, 2011

Jerkah Monsun

Petang waktu pulang sewaktu hujan menerjang
langit hitam
angin bagai meradang
di atas aspal, gigil jentera dua roda
membelah lecak air tanah, di atasnya
seorang pemuda yang kejang.

Ribut belum berhenti sewaktu sekeping besi
kecil merobek bocor getah tayar
dan membuang angin ke luar
lalu teroleng-oleng jentera dikendali pemuda
mengawal imbang
mengelak kendera beributan
di dalam hatinya takut dan bimbang.

Galak hujan belum berhenti
begitu juga angin
di depan
kedai motor agak masih jauh lagi.


Subang Jaya - Kelang
1 November 2011

Biasan

Di pantulan cermin pintu kaca, aku melihatmu melihat aku.


Subang Jaya
1 November 2011

Wednesday, October 26, 2011

Pada Waktu Ketiga

Pagi, awal sebelum matahari
gelap dan kokok ayam belum lagi
jaga seorang lelaki hujung negeri adalah untuk Tuhannya
pisat mata kebas kening seram dada
“di sini,” bisiknya
bangsa bukan untuk diperjuangkan
malah, fikir risau tentang agama
akan segera dilabel chauvinis oleh sebahagian,
sempit oleh sebahagian, dan
amno oleh sebahagian yang lain.

Idea terkurung antara dua kandang
antagonis adalah untuk kamu yang
tidak mahu dikandangkan.

Suaramu adalah yang pertama dan kedua
jeritkan yang ketiga dan kamu adalah
di atas pagar
yang mengepung kandang-kandang perjuangan mereka.


Kelang
27 Oktober 2011

Friday, October 07, 2011

Kau yang lain

Kau adalah kau yang lain pada waktu-waktu yang berjungkir
menjadi kau dan kau (dan kau, dan kau) – tidakkah lelah?


Subang Jaya
7 Oktober 2011