Tuesday, October 28, 2008

Kita Bekerja Hanya Kerana Tuhan



Sewaktu negara ini terbina
Dari kukuh tiang-tiang semangat dan
tegap pasak-pasak jasad
Di atas tanah subur dengan tangan dan jiwa luhur
Di sebaliknya adalah tenaga
Yang tercurah dan terperah dari perit-jerih keringat
Insan-insan mulia - manusia yang keras bekerja
dan tidak pernah mengenal penat.

Dari ceruk mana pun engkau datang
dan di sudut mana pun engkau mengisi ruang
hadirmu memberi makna yang panjang
kepada pendewasaan sebuah negara
mencabar dan memperkasa
dengan semangat juangmu yang sentiasa besar,
segar dan gemar menabur jasa.

Aku hanya melihat sebuah negara ini yang telah merdeka
bertegak bangga seperti muda belianya seorang jejaka
tetapi sering aku terlupa untuk menjenguk
di bawah sana rupanya ada golongan pendukung
yang selamanya berentap dan bertarung
sandar-menyandar dan saling menyokong
mendorong dan sering dirongrong.

Engkau pekerja adalah wira yang tidak didendang
Membanting tulang empat kerat di tengah ladang
berpacat dan berlumpur di petak bendang
menahan bahang laut demi sejaring ikan dan udang
berembun menyembah getah sebelum tinggi bayang-bayang
berbaris gigil di sejuk dinihari menanti kedatangan bas dari kilang
di perbatasan berjuang tanpa isteri hanya berteman selaras senapang
di baris hadapan memberkas petualang mempertahan kedaulatan undang-undang
menjaga sempadan negara dari diceroboh pendatang tidak diundang
gigih mendidik anak bangsa di sekolah ceruk hulu Ulu Beranang
mengubat sakit pening warga tua dan muda di hospital tidak kira malam siang
sabar menunggu gilir membayar tol di deret kendera yang panjang
terkadang menyumpah-seranah lantaran traffic jam yang tak pernah lekang
dimarah majikan kerana punch-card merah berulang-ulang

Engkau pekerja adalah tonggak nusa
selamanya menabur jasa
engkau membuang ke tepi rasa gundah dan putus asa
engkau menerjang ke sisi rasa lemah dan rasa selesa
engkau manusia biasa yang tidak punya kudrat sebesar raksasa
tetapi tetap engkau berbakti dengan semua yang ada tanpa rasa terpaksa
engkau tabah, cekal mencapai cita-cita
demi sentosa demi Tuhan Yang Esa.

Dari satu impian
dan satu harapan
kita melangkah menuju satu jalan
kita bekerja bukan untuk insan
kita bekerja bukan untuk makan
kita bekerja bukan untuk majikan
kita bekerja bukan untuk jawatan
kita bekerja bukan untuk kekuasaan
kita bekerja hanya kerana Tuhan

kita bekerja hanya kerana Tuhan.


Dideklamasikan sempena Sambutan Hari Pekerja dan Wacana Pekerja Kebangsaan anjuran Lajnah Pekerja PAS Pusat di Stadium Malawati, Shah Alam pada 4 Mei 2008.

Kebebasan Itu

Kebebasan itu tidak bercokol
di jari-jemari kasar sang penguasa
maka mereka kita gugah kerana
kebebasan itu kita mahu - walau barang sejengkal
guna kita bernafas dan demi memelihara akal.

Tetapi dengan kebebasan itu - yang kita tidak punya
biar sejengkal cuma di jari-jemari kita
masih mampu mencubit telinga mahupun
mengetuk kepala kita
yang jendul
kerana di jari-jemari kita sendiri pun kebebasan itu
tidak mampu bercokol.


Subang Jaya
28 Oktober 2008

Sebagai reaksi di atas sikap latah politikus Pakatan Rakyat terhadap cerpen Datuk Chamil Wariya, "Politik Baru YB J" yang tersiar di Utusan Malaysia.