Tuesday, June 22, 2010

Hari Bapa Tanpa Bapa di Sisi

Catatan kali ini pasti lebih melankolis kerana catatan ini tanpa kehadiran bapa
seperti angin yang sudah jadi tidak sama antara tiga tahun dulu dan dua puluh tujuh tahun sebelumnya
dengan desah nafas kini yang lebih sesak
aku bakal teringat dengan rotan dan tali pinggangnya yang panjang, menyesah
setiap kali aku lepas liar dan cuba menjadi nakal
mengoyak buku latihan Kak Ina
atau berlawan kata dengan Makcik yang tidak garang.

Catatan ini juga tidak akan jadi seperti catatan di diari bapa yang setia ditulis setiap awal pagi
sepulang dari pasar ketika duduk di kerusi tepi tivi
berapa harga gula berapa harga bawang berapa harga tenggiri
selain catatan tarikh lahir kami sembilan beradik dengan umurnya sekali.

Ada wajah bapa di balik cermin sewaktu aku bersiap ke tempat kerja
betapa satu waktu dulu bapa pernah ada
menegur dengan suaranya yang rendah dan meleret
diam yang panjang suara yang dalam udara yang bungkam
sebelum kami tersedar bahawa yang menasihati kami bukanlah suaranya
bukan juga diamnya malah
melainkan tutur dari luhur budi yang berbicara melalui kebesaran peribadi.

Meniti usia dewasa di lereng hidup tanpa tampang bapa
barangkali aku kehilangan pemegang yang paling aku perlu sewaktu mendaki cerun agak tinggi
betapa kerinduan terhadapnya adalah air penawar dahaga yang tak terhabis
membuat aku selalu segar semula dengan ingatan bahawa bapa adalah yang paling kukasih
dengan ingatan yang akan sering memanjangkan doaku kepada Tuhan
bersama titis-titis air mata di pusara yang sempat kutinggalkan.


Subang Jaya
18-23 Jun 2010

Wednesday, June 16, 2010

FYI

Tentang diamnya aku sepanjang pengetahuanmu,
ketahuilah
aku sebenarnya tidak bisu.


Subang Jaya
17 Jun 2010.

Monday, June 07, 2010

Sewaktu Hujan

rupanya.
di antara titis hujan itu bukan sahaja air.
keharuan turut turun.
dengan lebat juga, malah.


Subang Jaya
8 Jun 2010
1.01 t/h

Friday, June 04, 2010

Iblis Comel

adalah gelarmu, selayaknya.

Subang Jaya
4 Jun 2010
6.44 petang.