Wednesday, March 12, 2014

#DoaBuatMH370

Bilakah angin akan datang membawa khabar
telah kami tenung langit dan laut, bertanya
kalau-kalau ada camar dan ikan 
yang mahu bersuara membayangkan jawapan
kepada sebuah cerita yang kami baca
dari buku yang tidak kehabisan lembar.

Kami menanti berita-berita lewat
dari para peneka
(yang kadangkala suka berjenaka)
dan sang pewajar kehilangan wajah
di hujungnya hanya paparan sah dan nafi
saat kita menjemput ketumbukan seluruh benua
gusar kami seluas Laut China Selatan
mahu dikepung satu dua hari lagi.

Sejadah kami telah menakung tumpahan air mata
moga ia cukup ikhlas menjadi jambatan
menghantar doa kepada Tuhan
agama sering jadi antara persinggahan terakhir
para pengenggan takdir
namun di sebalik banyaknya dosa
kita tetap bersolat
mengetahui bukan di tangan kita jadinya
sebarang manfaat atau mudarat.


Subang Jaya
12 Mac 2014