Tuesday, September 11, 2007

Menunggu Bunga

Lorong-lorong rindu
Bersemilir dipuput bayu sendu
Basah di remang-remang detik masa cemburu
Menggenangi aspal kenangan lalu
Penungguan ini sememangnya menderitakan
Walau dihibur penglipur lara penyampai hikayat
Pemain sandiwara cereka bahagia
Penyair madah cinta pujangga dewata
Aku tetap tahu semua itu dusta semata
Mainan rasa pengabur jiwa lara
Sedang bunga rahsia penuh harga wangian semesta
Masih bersembunyi di tamanan larangan kayangan
Begitu segar mekar menjalar terpagar
Terpelihara sejahtera tanpa cela dan cedera
Menunggu seperti aku
Untuk dipetik pahlawan-pelawan juara medan perang nafsu gelora
Yang entah masih ada
Dan aku terus menunggu; seperti dungu
Untuk si bunga idaman jatuh ke ribaku.

Satu Lagi Dunia

Tanpa destinasi mahupun janji
Penantian ini akan terus
Segar dan tegar
Masa sudah lama berhenti
Lohong hitam ini hanya ada ruang
Untuk meneruskan perjalanan penantian
Yang mati
Durjana rasa menghulur tangan kudung harapan
Kami tidak mahu bangkit dari kematian
Yang kami tempuh sejak lahir
Luasnya pandangan mata hati
Tulus suci murni sesuci bayi
Terkurung sejahtera dalam rahim perlindungan
Dalam dunia di mana hanya ada dia dan Dia
Sepuasnya ingatan kasih syukur puji tertumpah melimpah
Menjunjung taat ke puncak
Tanpa izin-Nya kau takkan masuk syurga

Wednesday, September 05, 2007

Kacha


Setompok darah pekat
keras lama-lama berkarat
dalam kelam bilik mandi mengapung bau busuk dan kepam
Pengap
Gelap
Kecuali sebaris cahaya dari tingkap kaca yang tidak lagi berkaca
Pecah semua
oleh sebatang tangan kurus dan mulus
tidak lagi bermaya
kerana di dalamnya sudah banyak kaca.


Pelabuhan Utara
5-6 September 2007