Friday, December 10, 2010

Turun

Di atas kepala, langit sedang resah menggiring awan
sebentar lagi akan turun hujan
sedang kami di bumi membongkok mengutip janji-janji mungkir yang mungkin tercicir
dari liur menteri
kalau-kalau nilainya ada barang seringgit dua
buat membeli tempe atau tauge
demi mengisi malam-malam kami yang lapar.

Dan hujan, turunlah
sekurang-kurangnya tahulah kami alam turut bermuram
basahilah tanah ini
dan hati-hati yang kering milik para politikus
temani kami ke istana sultan menghantar memorandum
tunjukkan ke muka semua yang kami kebasahan dan
kami perlu payung.

Tuan atau tidak, harga kami telah lama lerai ditindih inflasi
dan tidak kami setanding menara paling tinggi dengan
ratus tingkat menongkat negeri
kepada pemimpin yang kehilangan perjuangan,
di dada kami ada cinta yang belum sirna
mahu kamu pinjam?

Turunlah selebatnya, hujan
temani kami tidur saja ini malam
tanpa mimpi pun mata kami tetap bisa pejam.



Subang Jaya
9 – 10 Disember 2010

Monday, November 01, 2010

Alangkah

Bagiku, kesakitan dibunuh cinta sepatutnya tidak berlaku
kerana cinta itu sifat aslinya adalah penyembuh.

Thursday, October 14, 2010

Lampiran

Bersama sekeping warkah ini yang merah
Nah,
ambillah hati ini yang berdarah
ia tidak mampu lagi ditampung raga yang telah pecah.

Wednesday, August 25, 2010

Itu Kamu

Seperti biasa, kamu adalah pengacau hatiku paling konsisten.


Subang Jaya,
25 Ogos 2010

Wednesday, July 28, 2010

Sisyphus

Seperti Sisyphus, terhantar kembali aku ke jurang.
Sisyphus yang sepi

tapi setia.


Subang Jaya
29 Julai 2010

Wednesday, July 21, 2010

Julai-julai Harijadi

Pada setiap tarikh yang ditera di kalendar hidup
tebal
tersimpan di dalamnya sejarah, terakam kisahnya yang seribu satu
bertunas dari akar yang satu
setia menuntun dari satu hari ke satu hari
menyongsong minggu-minggu pengalaman
semakin kaya dengan rencah rasa dari bulan ke bulan
dan tahun-tahun yang meninggi
seperti pohon besar yang menurunkan
dahan dan julai-julai ranting meninggalkan
daun-daun masa
yang satu-satu berguguran.

Semakin tinggi kita memanjat pohon semakin
jauh kita dari tanah tempat akar berasal
adakah jauh juga buah-buah jaya yang
tetap jua akan jatuh
ke bumi
pada musim luruh.

Menumpang teduh di bawah rimbun kesayangan
ingin aku tinggalkan jejak bertapak
dan teraan “aku ada di sini”
dapat nanti dilihat sebagai epitaf
oleh generasi nanti yang bakal menyambung nafas.

Kepada pemegang detik di hujung julai
sekian banyak bunga dan buah yang kita raih
juga duri
dari bawah ini dengan suara rendah
– mahu kuucapkan
selamat harijadi.


Subang Jaya
21 Julai 2010

Wednesday, July 14, 2010

Biar Satu Sen

Ianya adalah semasa kamu berasa tak berguna biar satu sen dan senyum adalah perkara yang paling kamu benci seperti melihat rama-rama warna-warni terbang tinggi hinggap di jari di ufuk barat bayang-bayang semakin panjang dengan tenggelam matahari sewaktu masa sudah pun patah kaki dan kamu tidak mahu segera pergi dari tempat di mana kamu berdiri.

- pada waktu itu, katakanlah

Astaghfirullahal ‘azim.


Subang Jaya,
15 Julai 2010

Tuesday, July 13, 2010

Tentang Kecintaan Yang Seharusnya Aku Letak di Mana

Sebenarnya kecintaan ini bukan letaknya di sini
setelah tanya demi tanya berjawab tutur bisu
(dan manis senyum juga tidak semestinya berisi madu)
permainan akan terus berlangsung dalam siri-siri yang panjang
seperti rentetan aman – perang yang lekas berputar
ya, sakit dan tewas boleh saja diberi nama-nama baru – tabah, misalnya
tegar
atau terjal
atau kedegilan yang tak boleh diajar.

Kita – pelakon setia, menggigit derita
di depan adalah keping kaca yang bakal mendera

malah sekarang pun aku sudah terdera dengan kesopanan.

Oh,
bukan di situ sebenarnya harus aku letakkan kecintaan
bahkan kecintaan itu sendiri tidak tahu di mana ia harus diletakkan.


Subang Jaya
13 – 14 Julai 2010

Tuesday, June 22, 2010

Hari Bapa Tanpa Bapa di Sisi

Catatan kali ini pasti lebih melankolis kerana catatan ini tanpa kehadiran bapa
seperti angin yang sudah jadi tidak sama antara tiga tahun dulu dan dua puluh tujuh tahun sebelumnya
dengan desah nafas kini yang lebih sesak
aku bakal teringat dengan rotan dan tali pinggangnya yang panjang, menyesah
setiap kali aku lepas liar dan cuba menjadi nakal
mengoyak buku latihan Kak Ina
atau berlawan kata dengan Makcik yang tidak garang.

Catatan ini juga tidak akan jadi seperti catatan di diari bapa yang setia ditulis setiap awal pagi
sepulang dari pasar ketika duduk di kerusi tepi tivi
berapa harga gula berapa harga bawang berapa harga tenggiri
selain catatan tarikh lahir kami sembilan beradik dengan umurnya sekali.

Ada wajah bapa di balik cermin sewaktu aku bersiap ke tempat kerja
betapa satu waktu dulu bapa pernah ada
menegur dengan suaranya yang rendah dan meleret
diam yang panjang suara yang dalam udara yang bungkam
sebelum kami tersedar bahawa yang menasihati kami bukanlah suaranya
bukan juga diamnya malah
melainkan tutur dari luhur budi yang berbicara melalui kebesaran peribadi.

Meniti usia dewasa di lereng hidup tanpa tampang bapa
barangkali aku kehilangan pemegang yang paling aku perlu sewaktu mendaki cerun agak tinggi
betapa kerinduan terhadapnya adalah air penawar dahaga yang tak terhabis
membuat aku selalu segar semula dengan ingatan bahawa bapa adalah yang paling kukasih
dengan ingatan yang akan sering memanjangkan doaku kepada Tuhan
bersama titis-titis air mata di pusara yang sempat kutinggalkan.


Subang Jaya
18-23 Jun 2010

Wednesday, June 16, 2010

FYI

Tentang diamnya aku sepanjang pengetahuanmu,
ketahuilah
aku sebenarnya tidak bisu.


Subang Jaya
17 Jun 2010.

Monday, June 07, 2010

Sewaktu Hujan

rupanya.
di antara titis hujan itu bukan sahaja air.
keharuan turut turun.
dengan lebat juga, malah.


Subang Jaya
8 Jun 2010
1.01 t/h

Friday, June 04, 2010

Iblis Comel

adalah gelarmu, selayaknya.

Subang Jaya
4 Jun 2010
6.44 petang.

Wednesday, April 07, 2010

Malam Paling Singkat

Malam ini mungkin paling singkat
setelah engkau pergi
(walau masa tidak pernah mungkir mengiringmu
ke muka pintu)
tutur tidak bertingkah dan tawa
tidak pecah

Tanpa sebarang alasan, kita memilih bersandar di dinding hening
(kata Rendra – sepi menjadi kaca)

Hening menyapa dan memberi salam
di antara kita udara bungkam dan jurang dalam
memandang kosong di antara makna yang enggan bertemu
kata-kata menjadi dosa

Sehingga engkau pergi
aku terus mendendami sepi.



PJ – Kelang
5 – 6 April 2010

Tuesday, April 06, 2010

Pulang


Petang sewaktu warga kota beransur pulang.
Langit lembut.
Jalan macet.
Unggas pulang sarang.

Dari balik jendela kaca yang belum mahu mencumbui senja
hari masih terlalu lama untuk usai
sementelah urus duniawi masih jauh dari selesai
keletap-keletup papan kekunci dan jari menari
- dendang malam Rabu
neon billboard ternyala dan gadis kilang pulang kerja
di atas meja
esok seperti sudah tidak ada.

Laung lembut di puncak menara
hayya ‘alassolaah
memanggil aku

pulang.



PJ – Kelang
23 – 31 Mac 2010

Tuesday, March 16, 2010

Dan kami masih tertanya-tanya

Sewaktu hari mengutus kata berbaur harum bau bunga
hujan belum reda luar jendela
di tangan, warkah ini belum dibuka
dengan seribu tanya dan jutaan resah rasa
digaul dalam kancah agak, terka dan fikir
hilang kamu belum terjawab dalam tanda soal yang besar
seperti asap
kamu pergi tanpa tutur wajar

seperti asap
dari hutan yang terbakar.



PJ Selatan
15 Mac 2010

Tuesday, March 02, 2010

Tibia dan Fibula: Sajak Penawar Untuk Aaron Ramsey



Dejavu Eduardo berpapasan sewaktu malang itu melanggar kamu
melanggar kami, malah
melanggar semua.

(Saat itu malah seperti ingin membungkus kembali dengan gebar ketakutan dan mengurung lagi dalam kelambu putus harapan.)

Perlawanan tidak menjadi sehangat itu sewaktu
terjahan Shawcross jadi melulu dan tersasar
meninggalkan kamu dengan kaki terkulai dan
tidak berdaya
di depan rakan dan lawan yang tidak percaya
memegang kepala dengan mulut ternganga
kad merah pengadil tidak dapat mengubat luka
di kaki dan di hati yang terbakar
marah, kesal, rasa terkhianat berlipat dan tersimpan
dalam gulung stokin dan shin guard
Namun,
“Perlawanan belum berakhir,” kata mereka
“Sehingga wisel ditiup, gol kemenangan untuk kami tidak akan mungkir!”

Dan Fabregas menerpa bagai harimau luka
perlumbaan mengejar kemenangan tidak pernah segetir ini
kesakitan Ramsey perlu diganti hingga putih tulang
walau garis kemenangan itu seperti terlalu jauh untuk dicapai tangan.

Kepada Ramsey: Tibia dan fibulamu mungkin patah
tetapi harapan kejuaraan tidak
seperti rakan-rakanmu yang
berjanji membawa pulang trofi ke Emirates untuk kamu
aku juga berharap agar tidak perlu terlalu lama menunggu.



PJ Selatan
2 Mac 2010

Wednesday, February 24, 2010

Seben-tar

Sebentar nanti apabila aku tidak marah lagi
Engkau akan kembali kucintai.


Petaling Jaya Selatan,
25 Februari 2010.

Thursday, January 21, 2010

Tiga Puluh

Pertambahan usia juga tidak semestinya menambah kematangan
Seperti aku yang mencecah tiga puluh
tapi dalam banyak perkara masih bodoh malah
angkuh enggan menelan kebenaran, berbanding
kedegilan yang jadi makanan kegemaran.


Petaling Jaya Selatan
22 Januari 2010.

Tuesday, January 19, 2010

Setelah Pergi

Setelah tandus, hati ini hanya tanah keras dengan lekuk lubang dan garis panjang
Titis paling akhir air telah kering, hilang dan pergi
Tanah ini tidak basah lagi, lembap sudah jadi sejarah yang dirindui
Pada bekas pernah subur bunga pohon
Tiada
Tiada
Tiada apa-apa

Yang ada hanya masa lalu.


PJ Selatan
19 Januari 2010

Melodi Tak Berantai

tetapi tetap ada iblis di matamu
malah di tubuhmu seluruh
tersenyum dan memanggil
seperti kandil yang dihurung kelkatu-kelkatu ghairah
sebelum sayap patah menjadi anai-anai
menabrak dinding rapuh keimanan lalu
runtuh
menjadi puing dan baja tak terpemenai

seperti melodi itu, si iblis sama tidak berantai
lewat minggu-minggu maksiat mengumpul keseluruhan jahat-jahat
menjadi bulan menjadi
tahun menjadi dekad dan abad
menjadi ketul hitam batu berat besi karat tahi pekat

tanpa air muka, bertenggek si jahanam di pagar dengan gitar
memain melodi
mengajak datang sertai pesta bunuh hati rai hancur diri
begini, katanya
di sini nanti kita tidak perlu mati

lalu melodi dimainkan dengan irama sederhana
sehingga terlena dan terjaga semula
aku terlupa yang di sana mimpi tidak pernah ada.


Petaling Jaya Selatan
19 Januari 2010