Wednesday, July 21, 2010

Julai-julai Harijadi

Pada setiap tarikh yang ditera di kalendar hidup
tebal
tersimpan di dalamnya sejarah, terakam kisahnya yang seribu satu
bertunas dari akar yang satu
setia menuntun dari satu hari ke satu hari
menyongsong minggu-minggu pengalaman
semakin kaya dengan rencah rasa dari bulan ke bulan
dan tahun-tahun yang meninggi
seperti pohon besar yang menurunkan
dahan dan julai-julai ranting meninggalkan
daun-daun masa
yang satu-satu berguguran.

Semakin tinggi kita memanjat pohon semakin
jauh kita dari tanah tempat akar berasal
adakah jauh juga buah-buah jaya yang
tetap jua akan jatuh
ke bumi
pada musim luruh.

Menumpang teduh di bawah rimbun kesayangan
ingin aku tinggalkan jejak bertapak
dan teraan “aku ada di sini”
dapat nanti dilihat sebagai epitaf
oleh generasi nanti yang bakal menyambung nafas.

Kepada pemegang detik di hujung julai
sekian banyak bunga dan buah yang kita raih
juga duri
dari bawah ini dengan suara rendah
– mahu kuucapkan
selamat harijadi.


Subang Jaya
21 Julai 2010

3 comments:

ZULKIFLI BIN MOHAMED said...

Selamat hari jadi ...

Haizir said...

Salam, tuan. Terima kasih. Sebelum ini akses ke blog tuan agaknya tergendala. Lega rasanya sudah boleh baca semula sajak-sajak tuan. :)

Anonymous said...

macam mana boleh terbaca,
terasa insaf dan bertenaga semula
penuh inspirasi