Wednesday, July 28, 2010

Sisyphus

Seperti Sisyphus, terhantar kembali aku ke jurang.
Sisyphus yang sepi

tapi setia.


Subang Jaya
29 Julai 2010

Wednesday, July 21, 2010

Julai-julai Harijadi

Pada setiap tarikh yang ditera di kalendar hidup
tebal
tersimpan di dalamnya sejarah, terakam kisahnya yang seribu satu
bertunas dari akar yang satu
setia menuntun dari satu hari ke satu hari
menyongsong minggu-minggu pengalaman
semakin kaya dengan rencah rasa dari bulan ke bulan
dan tahun-tahun yang meninggi
seperti pohon besar yang menurunkan
dahan dan julai-julai ranting meninggalkan
daun-daun masa
yang satu-satu berguguran.

Semakin tinggi kita memanjat pohon semakin
jauh kita dari tanah tempat akar berasal
adakah jauh juga buah-buah jaya yang
tetap jua akan jatuh
ke bumi
pada musim luruh.

Menumpang teduh di bawah rimbun kesayangan
ingin aku tinggalkan jejak bertapak
dan teraan “aku ada di sini”
dapat nanti dilihat sebagai epitaf
oleh generasi nanti yang bakal menyambung nafas.

Kepada pemegang detik di hujung julai
sekian banyak bunga dan buah yang kita raih
juga duri
dari bawah ini dengan suara rendah
– mahu kuucapkan
selamat harijadi.


Subang Jaya
21 Julai 2010

Wednesday, July 14, 2010

Biar Satu Sen

Ianya adalah semasa kamu berasa tak berguna biar satu sen dan senyum adalah perkara yang paling kamu benci seperti melihat rama-rama warna-warni terbang tinggi hinggap di jari di ufuk barat bayang-bayang semakin panjang dengan tenggelam matahari sewaktu masa sudah pun patah kaki dan kamu tidak mahu segera pergi dari tempat di mana kamu berdiri.

- pada waktu itu, katakanlah

Astaghfirullahal ‘azim.


Subang Jaya,
15 Julai 2010

Tuesday, July 13, 2010

Tentang Kecintaan Yang Seharusnya Aku Letak di Mana

Sebenarnya kecintaan ini bukan letaknya di sini
setelah tanya demi tanya berjawab tutur bisu
(dan manis senyum juga tidak semestinya berisi madu)
permainan akan terus berlangsung dalam siri-siri yang panjang
seperti rentetan aman – perang yang lekas berputar
ya, sakit dan tewas boleh saja diberi nama-nama baru – tabah, misalnya
tegar
atau terjal
atau kedegilan yang tak boleh diajar.

Kita – pelakon setia, menggigit derita
di depan adalah keping kaca yang bakal mendera

malah sekarang pun aku sudah terdera dengan kesopanan.

Oh,
bukan di situ sebenarnya harus aku letakkan kecintaan
bahkan kecintaan itu sendiri tidak tahu di mana ia harus diletakkan.


Subang Jaya
13 – 14 Julai 2010