Wednesday, June 20, 2012

Salah Tak Salah II

Tidak menjadi kesalahan
jika kesalahan di pihak kita
tapi apabila kesalahan
ada di sebelah lawan
segera ia dipersalahkan
dan jadi kesalahan terbesar
yang pernah dilakukan
sepanjang peradaban manusia
hanya kerana ia bersalahan
dengan kita
dan dengan kepentingan
yang kita perjuangkan


Klang
11 Jun 2012

Saturday, June 09, 2012

Enggan

Aku belum terjaga
sewaktu kau sedang mencari jalan pulang
ke blok-blok bangunan lama
sekolah peradaban
yang pernah kita huni dan mendekam
di dalamnya.

Walau apa pun kata mereka
dan kau
tentang mimpiku
biarkan
kerana kita
berlainan pembaringan.


Tanjung Malim
9 Jun 2012

Monday, March 19, 2012

Kau

Kau adalah puisi lewat malam-malamku yang resah.


Subang Jaya
20 Mac 2012

Tuesday, January 31, 2012

Notis di papan memo KGNS

Seperti kek, kita dipotong-potong
cuma besar-kecilnya tidak sama
ia tergantung pada tanda harga,
bangsa,
dan nilai wibawa yang ditera
di papan memo kelab golf
milik orang kaya, tentunya.

Ya, keahlian juga boleh dibeli
dan dipotong-potong
seperti kek
yang tidak pernah dirasa, tentunya
oleh orang miskin.


Subang Jaya
1 Februari 2012