Friday, November 11, 2011

Hujan November Sebelas

Sebulan dan selepasnya selamanya.


Sakiti aku sekuatnya
agar lebih mudah kumelupakanmu.



Subang Jaya,
11/11/11.

Thursday, November 03, 2011

Hak

Kawasan ini selamanya tentang hak
yang dilanggar, atau
yang mahu dipertahankan.
“setiap orang tidak tertakluk kepada apa pun
mereka bebas dan berhak,” kata mereka
pandang dan faham bergentayangan
di langit lepas
sempadan tidak ada
idea-idea berkisar
dan menjadi rojak.

dosa tidak lagi tabu
menghalangnya malah melanggar hak asasi manusia.
berbanding mendekati agama
umat kini mahu kelihatan lebih kacak
dan bijak
dengan menghindarinya
lalu mengimani "kebebasan" sebagai satu dogma yang paling terpercaya.


Subang Jaya
3 November 2011

Monday, October 31, 2011

Jerkah Monsun

Petang waktu pulang sewaktu hujan menerjang
langit hitam
angin bagai meradang
di atas aspal, gigil jentera dua roda
membelah lecak air tanah, di atasnya
seorang pemuda yang kejang.

Ribut belum berhenti sewaktu sekeping besi
kecil merobek bocor getah tayar
dan membuang angin ke luar
lalu teroleng-oleng jentera dikendali pemuda
mengawal imbang
mengelak kendera beributan
di dalam hatinya takut dan bimbang.

Galak hujan belum berhenti
begitu juga angin
di depan
kedai motor agak masih jauh lagi.


Subang Jaya - Kelang
1 November 2011

Biasan

Di pantulan cermin pintu kaca, aku melihatmu melihat aku.


Subang Jaya
1 November 2011

Wednesday, October 26, 2011

Pada Waktu Ketiga

Pagi, awal sebelum matahari
gelap dan kokok ayam belum lagi
jaga seorang lelaki hujung negeri adalah untuk Tuhannya
pisat mata kebas kening seram dada
“di sini,” bisiknya
bangsa bukan untuk diperjuangkan
malah, fikir risau tentang agama
akan segera dilabel chauvinis oleh sebahagian,
sempit oleh sebahagian, dan
amno oleh sebahagian yang lain.

Idea terkurung antara dua kandang
antagonis adalah untuk kamu yang
tidak mahu dikandangkan.

Suaramu adalah yang pertama dan kedua
jeritkan yang ketiga dan kamu adalah
di atas pagar
yang mengepung kandang-kandang perjuangan mereka.


Kelang
27 Oktober 2011

Friday, October 07, 2011

Kau yang lain

Kau adalah kau yang lain pada waktu-waktu yang berjungkir
menjadi kau dan kau (dan kau, dan kau) – tidakkah lelah?


Subang Jaya
7 Oktober 2011


Sunday, September 04, 2011

Langit Lepas



Seperti layang-layang terbang di langit bebas,
lepaskan rasa rindu di Syawal ini untuk seluruh isi alam
dan ungkapkan lafaz syukur paling luas kepada-Nya.

-kerana apalah ertinya lebaran dan paginya yang kudus
tanpa kasih dan maaf dari hati yang tulus.


Subang Jaya
25 Ogos 2011
25 Ramadan 1432H

Thursday, August 25, 2011

Seperti selalu, engkau tiada di situ

Dari birai jendela dalam redam petang
bersama nafas, pandangan kulepas ke ruang bebas
seperti selalu, engkau tiada di situ
dan bulan muncul siang dalam garis-garis kelabu
dihantar malam yang ingin cepat tiba
agar hariku nantinya
ya,

biar gelap saja.


Subang Jaya
5 Ogos 2011

Monday, May 09, 2011

Sajak Pada Hari Ibu Yang Tidak Sepertinya

Sudah cukup klise ucapan saban tahun
malah sambutan terhadapmu terkait dengan
faham konsumerisme
yang bakal mengayakan pemilik restoran dan
pengusaha kedai bunga.

Selainnya, kau tidak perlu kata-kata indah
bersifat muluk
kerana cinta juga tanggungjawab
di pundak akulah tertanggung untuk
dilaksana dengan dua tangan dan
bukan retorik.

Sesungguhnya, ibu
cintaku padamu perlu satu dimensi baru.



Syah Alam - Kelang,
7 Mei 2011.

Thursday, April 07, 2011

Bagasi Kecil


Aku sudah pun bersiap untuk berangkat ke pulau rawan
sewaktu kaudatang mengendong bagasi kecil yang
katamu milikku – tertinggal di muka pintu
kau – dengan wajah tanpa ekspresi
angin kering sebelum berhenti
menukar aku dungu sewaktu senyummu yang madu
bersulam tutur selembut malam paling syahdu
telah pun berniat membunuh
dan meninggalkan aku di jeti
lesap dan sepi
seperti seorang nelayan yang hilang di tengah subuh.

Kapalku belum berlabuh
langit memerah sewaktu bayang-bayang makin hilang.
katamu, di hujung sendu (yang sebenarnya
tidak pernah kutemu sepanjang kita bertemu)
“Simpanlah kesedihanmu dalam bagasi ini
atau campakkan ia ke laut.”

Matahari telah benar-benar ditelan ufuk.

“kerana aku takut kauakan mengutip lagi
keping-keping kesedihan yang baru di atas kapal
atau apabila kautiba nanti di pulau.”



Petaling Jaya
Mac 2011

Tuesday, March 15, 2011

Bayang-bayang

Mengejarmu adalah kerja bodoh yang paling kugemari mungkin
dan cukup konsisten kukerjakan
kerana gila telah mewajarkan ketidakwarasan
cuma sepanjangnya sama ada tersadung, jatuh, atau masuk lubang
akulah yang menanggung dengan setia dan
tidak jemu
biar parut dan luka sudah ada pada setiap inci badan.

Luka berganti parut
parut berganti luka.

Aku tetap mengejarmu
mengejarmu tetap aku.



Subang Jaya
15 Mac 2011

Thursday, March 03, 2011

Bersoal-soalan

Tentang ingatan putik mekar kembang cemerlang
besar-besar mengambil ruang emosi
penuh terisi
terlimpah
tak ternafi.

Apakah yang ingin kukatakan tentang ini rasa?

Berulang-ulang membahagiakan
malah pada sesetengahnya menghilangkan masa
dan ruang berjalan terus tak tertahan
pergi membawa harapan yang bisa mungkir
bersama kepercayaan
dan senyum yang terukir di tubir bibir.

Menoleh ke sisi
ada jeling hujung mata.
(Ia sebenarnya adalah persoalan mahu dewasa atau kekal bayi
tapi aku enggan memilih.)

Maka, apakah yang ingin kukatakan tentang ini rasa?



Subang Jaya
3 Mac 2011

Wednesday, February 09, 2011

Benarkah?

Sebahagian kita memilih perjuangan yang
sebahagian kita menolaknya kerana memilih kesenangan.

Benar, perjuangan adalah mempertahankan apa yang
kita percaya dan
apa yang kita cinta.

Benar, perjuangan tidak perlu kata-kata indah seribu
puisi atau madah, bahkan pencoraknya adalah
dengan tinta, lidah dan darah.

Benar.
Tetapi, adakah perjuangan kita benar?



Subang Jaya
8 Februari 2011

Monday, January 03, 2011

Dua ribu sebelas

Memang enak dengar lagu
Yesterday dari The Beatles sambil tunggu tahun baru.
Selain itu, cuma timbul kerisauan-kerisauan kecil dan
besar apabila kalendar hanya tinggal lembar
terakhir dan lembaran baru yang tebal akan cepat dibuka.
Masa adalah tapak kaki yang kita tinggalkan sewaktu
berjalan berkaki ayam di pesisir pantai.
Semakin jauh kita tinggalkan semakin
hilang ia dari pandangan. Masa juga seperti Hotel
California. Kamu boleh check-in bila-bila masa
kamu suka. Tetapi kamu tidak boleh keluar
pulang darinya. Selamat jalan 2010
dan kesepian. Di pintu 2011 ada
pesta baru bakal berjalan.



Kesang Tua
1 Januari 2011