Monday, August 25, 2014

Pesan Kepada Politikus

Sampaikan kepada politikus
kami sudah lali dengan janji manis dan harapan palsu
dibalut dengan kertas bungkus
berlabel "perjuangan" dan "keadilan"
tanpanya ternyata kami lebih bahagia
menyusuri hari-hari biasa
tanpa ditipu
tanpa dicucuk hidung seperti lembu.

Politik adalah pemerdayaan persepsi
sedang yang kami perlu adalah segelas
air
dan sesuap nasi.


Klang

24 Ogos 2014

Tuesday, June 10, 2014

Hati patah

Balik tidak diundang,
Sihat sakit-sakitan;
Baik tidak dipandang,
Jahat ingat-ingatan.


Monday, May 26, 2014

Hujan, sewaktu kaumula menangis

Kita sedang beriring di permatang waktu
setelah leka membasah kaki
merenung ikan-ikan di kali
sewaktu langit mula hitam dan menitikkan titis-titis dingin
kau dan aku sebetulnya masih ingin
memetik beberapa helai lagi daun-daun masa
tetapi kita tetap tahu pertemuan bukanlah selamanya
sampai tikanya ia harus berundur
dan disimpan sebagai kerinduan.

Hujan makin deras tika kita
berlari-lari anak di batas kenangan
masa sepantas kaki kita yang kebasahan
percik air hingga ke muka
kautersenyum suka
sehinggalah kita tiba di penghujung jalan
garis senyummu yang madu
putus dipadam pilu.

Di hujung matamu yang bergenang air
aku tahu kita mengejar perpisahan
di hujung matamu yang bergenang air
aku tidak tahu
adakah ia tangisan
atau titis hujan.


Klang – Subang Jaya

12 – 15 April 2014

Wednesday, April 16, 2014

Sakit

Rupa-rupanya
tidak mendapat sesuatu
tidaklah sesakit mengetahui rakan kita
mendapat sesuatu
yang kita mahu.


Subang Jaya
15 April 2014

Kenang-kenangan MH370

Kami masih bingung sewaktu kau meluncur ke garisan takdir
tertanya-tanya tentang tujuan, tentang punca
tentang arah dan waktumu
di sela terhantar pesan anak, raung ibu dan harap warga
bantuan semakin hadir
siapa tahu kau telah tiba dulu ke perhentian terakhir.

Doa kami barangkali tergulung dalam ombak
maafkan kami yang selalu menduga
menaruh syak kepadamu yang sedang di persimpangan
hidup dan maut
kami terlalu melampau, melempar
kad demi kad pertaruhan di atas meja nasib
menyangka nyawamu semurah teks-teks yang galak ditaip.

Takdir telah bersuara kuat
kita bukanlah penulis nasib kita sendiri
sepantas mana langkah kaki
sejauh mana kita berlari
sampai satu masa waktu ‘kan terhenti
Dari Allah kita datang, kepada-Nya kita kembali.


Subang Jaya
26 Mac 2014


Tersiar di BH Ahad, 30 Mac 2014

Wednesday, March 12, 2014

#DoaBuatMH370

Bilakah angin akan datang membawa khabar
telah kami tenung langit dan laut, bertanya
kalau-kalau ada camar dan ikan 
yang mahu bersuara membayangkan jawapan
kepada sebuah cerita yang kami baca
dari buku yang tidak kehabisan lembar.

Kami menanti berita-berita lewat
dari para peneka
(yang kadangkala suka berjenaka)
dan sang pewajar kehilangan wajah
di hujungnya hanya paparan sah dan nafi
saat kita menjemput ketumbukan seluruh benua
gusar kami seluas Laut China Selatan
mahu dikepung satu dua hari lagi.

Sejadah kami telah menakung tumpahan air mata
moga ia cukup ikhlas menjadi jambatan
menghantar doa kepada Tuhan
agama sering jadi antara persinggahan terakhir
para pengenggan takdir
namun di sebalik banyaknya dosa
kita tetap bersolat
mengetahui bukan di tangan kita jadinya
sebarang manfaat atau mudarat.


Subang Jaya
12 Mac 2014

Monday, January 27, 2014

Bun-tut

harapan adalah kata muluk 
dari mulut busuk 
pemimpin-pemimpin
mabuk
kuasa
bercita mencolok mata
melayan kita bagai kain buruk
buat mengesat buntut-buntut mereka
yang belum dicebuk.



Subang Jaya
28 Januari 2014