Sunday, December 16, 2007

Sajak Penawar Untuk En. Annuar (Semoga dapat mengelap keringat yang berjujuran di jalan dakwah)

Sebenarnya terlalu payah
untuk mencari kata-kata indah, menterjemah
sosok dan tampang dirimu yang telah lewat separuh usia
namun gelora dalam jiwa yang tersorok di tenang wajah
kami percaya
ia tidak pernah tua biar sesaat cuma
kerana gigih perit-jerih yang lahir dari fikir
dan tindak laku getir darimu
tidak akan sempat jadi sejarah
melainkan terus bergerak, menjarak dan menjarah
kepalsuan dan ketidakbetulan yang melata.

Barangkali kami belum sempat menduga
atau tidak pernah mengira
helai-helai putih di rambutmu
atau garis-garis pedih di mukamu
adakah sudah bertambah
kerana yang sering kautunjukkan kepada kami
hanyalah rangkaian pengajaran dan pengalaman
yang segar dan membakar
berterusan dan tidak jemu
biar terkadang kami culas dan cuba mencari alasan.

Terima kasih di atas cerita-cerita
yang kausampaikan terkadang persis Pawang Ana
pencerita Awang Sulung Merah Muda
dari diari merahmu yang sering runcing
dengan idealisme penyedar
untuk kami jadikan landas semasa bertatih
dan tempat bersandar semasa letih.

Sebenarnya terlalu payah, Encik Annuar!
Untuk mencari cara menghargai
kerana penghargaan itu sendiri di dalam dirimu sudah menyebati.



17 Disember 2007
Pelabuhan Utara


Thursday, December 06, 2007

Gurindam Kuning Kelabu

Kami bukan kamu
Kami pisang masak kamu berry kelabu

Biar sama jalan kita tidak satu
Biar sama lawan kita tidak bantu
Kalau kita lawan kamu mula dulu

Kami bukan kamu
Kami waspada kamu buru-buru
Kami yakin kamu ragu-ragu

Jangan ikut tingkap kita ada pintu
Kalau kena tangkap kita jumpa situ
Walau satu lokap kita tak sekutu

Kami bukan kamu
Kami jujur kamu menipu
Kami tegur kamu merapu

Negeri ini makmur semua orang tahu
Kalau kena sembur sendiri basuh baju
Jangan jadi kabur buat tidak tentu
Nanti masuk kubur kamu jadi hantu

Kami bukan kamu
Kami waras kamu buntu
Kami jelas kamu ganggu

Kalau rasa rawan atas kita tuju
Jangan jadi sawan kami tak setuju
“Lawan tetap lawan” itu kita mahu
Kalau kita kawan jalan kita laju



Pelabuhan Utara
6 Disember 2007

Thursday, November 29, 2007

Rapat Raksasa (sempena perhimpunan BERSIH 10 November 2007)





Dan hari itu menjadi sangat indah dengan warna-warni ceria
seceria citra bangsa depan masa
perkasa
dicorak bangga
di kanvas nusa kami cinta.

Sejahteralah bangsa kami merdeka di atas tanah atma
Berjuang demi membela
Berjuang demi membela
bebas diri di jiwa menyala.

Dari susur waris pejuang lahir
kami menerus laga menyauk sangga
mengesip getir
merampas takdir
dari tangan pemungkir.

Demi sentosa demi Tuhan Yang Esa
Kami sanggup berjasa.


Pelabuhan Utara
12 November 2007

Monday, November 26, 2007

Baru Ini Kutahu, Kawan

Tidaklah aku tahu sebelum itu, kawan
Hatimu yang dulu kekeringan cinta
dan wajahmu yang sering kontang air mata
rupanya telah segar dan basah digenangi kali
dari jeram deras jiwa belas
yang sangat kaya
dengan ikan semangat
dan air sejuknya yang pantas membebat.

Barangkali lembar hiba yang menyorok
garis senyum di bibirmu telah tersobek
oleh tajam masa
lalu gelak-tawamu yang lama terkurung
jauh di hulu jantung
tidak mampu engkau sendiri sembunyi
sehingga ia terlukis begitu cantik
di wajahmu.

Amanlah dirimu hendaknya
berpasang tampang kesetiaan yang ikhlas memuja
dan kuat mendoa
kebahagiaanmu.

Barulah kutahu selepas itu, kawan
Hatimu yang dulu kekeringan cinta
dan wajahmu yang sering kontang air mata
rupanya telah penuh dengan bunga-bunga wangi

suci

dan tidaklah dapat ia diisi lagi.



Pelabuhan Utara
26 November 2007

Tuesday, September 11, 2007

Menunggu Bunga

Lorong-lorong rindu
Bersemilir dipuput bayu sendu
Basah di remang-remang detik masa cemburu
Menggenangi aspal kenangan lalu
Penungguan ini sememangnya menderitakan
Walau dihibur penglipur lara penyampai hikayat
Pemain sandiwara cereka bahagia
Penyair madah cinta pujangga dewata
Aku tetap tahu semua itu dusta semata
Mainan rasa pengabur jiwa lara
Sedang bunga rahsia penuh harga wangian semesta
Masih bersembunyi di tamanan larangan kayangan
Begitu segar mekar menjalar terpagar
Terpelihara sejahtera tanpa cela dan cedera
Menunggu seperti aku
Untuk dipetik pahlawan-pelawan juara medan perang nafsu gelora
Yang entah masih ada
Dan aku terus menunggu; seperti dungu
Untuk si bunga idaman jatuh ke ribaku.

Satu Lagi Dunia

Tanpa destinasi mahupun janji
Penantian ini akan terus
Segar dan tegar
Masa sudah lama berhenti
Lohong hitam ini hanya ada ruang
Untuk meneruskan perjalanan penantian
Yang mati
Durjana rasa menghulur tangan kudung harapan
Kami tidak mahu bangkit dari kematian
Yang kami tempuh sejak lahir
Luasnya pandangan mata hati
Tulus suci murni sesuci bayi
Terkurung sejahtera dalam rahim perlindungan
Dalam dunia di mana hanya ada dia dan Dia
Sepuasnya ingatan kasih syukur puji tertumpah melimpah
Menjunjung taat ke puncak
Tanpa izin-Nya kau takkan masuk syurga

Wednesday, September 05, 2007

Kacha


Setompok darah pekat
keras lama-lama berkarat
dalam kelam bilik mandi mengapung bau busuk dan kepam
Pengap
Gelap
Kecuali sebaris cahaya dari tingkap kaca yang tidak lagi berkaca
Pecah semua
oleh sebatang tangan kurus dan mulus
tidak lagi bermaya
kerana di dalamnya sudah banyak kaca.


Pelabuhan Utara
5-6 September 2007

Wednesday, August 29, 2007

Untuk Isteri di Rumah


Seperti kata Bandi Amuk, “Aku mahu pulang”

Tapi hujan lebat di luar masih belum mahu reda, sayang

Dengan habuk debu yang bertukar lumpur hitam di jalan merah

Jangan risau

Motosikal kapcaiku masih tega mengharung lecak di lorong basah

Nantikan kepulangan abang di muka pintu

Malam ini kita makan di luar sahaja seperti dulu.


Sunday, July 29, 2007

Engkau Bukan Ain

Engkau mainkan senandung lagu lama
Sewaktu engkau menolak aku
Sebelum aku jatuh
Engkau telah terlebih dulu aku ludah
Di atas tanah aku dengar
Lagu lama itu berhenti
Bila ludahku kering di mukamu
Kerana ada tangan yang mengelapnya
Tangan yang ingin sekali aku cincang putus


Pelabuhan Utara
23 Disember 2005

Tuesday, May 08, 2007

Lagi Lima Hari Sebelum "Mother's Day"

Dengan pelbagai tamsil mereka meneka-neka dirimu

Hembusan bayu
Setitis embun
Haruman kasturi
Suria pagi
Dan pelbagai lagi
kata-kata keramat
From the bottom of my heart

Tapi bagiku cukuplah dirimu, ibu

Cukuplah dirimu


Pelabuhan Utara
8 Mei 2007

Tuesday, April 03, 2007

Penggila

Sewaktu manusia itu datang membimbit kebodohannya
Dalam bakul nista, tergaul
Dengan dengki dan dendam yang tidak kami ketahui punca
Mahu mengacah, mahu jadi pemecah
Mahu…., entah!

Dari aksara yang membentuk kata menghantar makna kamu manusia kurang bahasa sengaja mencari musuh merempuh budaya yang ingin dibina menikam kejam pencinta bangsa tanpa wibawa tanpa susila hanya menunjuk gila

Maka kami menghantar bahasa gusar
pada ruang-ruang kata yang terpapar
“Pergilah kamu bersama kebodohan yang kaujulang
Di sini tiada cukup ruang untuk seorang petualang”