Sunday, December 16, 2007

Sajak Penawar Untuk En. Annuar (Semoga dapat mengelap keringat yang berjujuran di jalan dakwah)

Sebenarnya terlalu payah
untuk mencari kata-kata indah, menterjemah
sosok dan tampang dirimu yang telah lewat separuh usia
namun gelora dalam jiwa yang tersorok di tenang wajah
kami percaya
ia tidak pernah tua biar sesaat cuma
kerana gigih perit-jerih yang lahir dari fikir
dan tindak laku getir darimu
tidak akan sempat jadi sejarah
melainkan terus bergerak, menjarak dan menjarah
kepalsuan dan ketidakbetulan yang melata.

Barangkali kami belum sempat menduga
atau tidak pernah mengira
helai-helai putih di rambutmu
atau garis-garis pedih di mukamu
adakah sudah bertambah
kerana yang sering kautunjukkan kepada kami
hanyalah rangkaian pengajaran dan pengalaman
yang segar dan membakar
berterusan dan tidak jemu
biar terkadang kami culas dan cuba mencari alasan.

Terima kasih di atas cerita-cerita
yang kausampaikan terkadang persis Pawang Ana
pencerita Awang Sulung Merah Muda
dari diari merahmu yang sering runcing
dengan idealisme penyedar
untuk kami jadikan landas semasa bertatih
dan tempat bersandar semasa letih.

Sebenarnya terlalu payah, Encik Annuar!
Untuk mencari cara menghargai
kerana penghargaan itu sendiri di dalam dirimu sudah menyebati.



17 Disember 2007
Pelabuhan Utara


No comments: