Tuesday, October 28, 2008

Kita Bekerja Hanya Kerana Tuhan



Sewaktu negara ini terbina
Dari kukuh tiang-tiang semangat dan
tegap pasak-pasak jasad
Di atas tanah subur dengan tangan dan jiwa luhur
Di sebaliknya adalah tenaga
Yang tercurah dan terperah dari perit-jerih keringat
Insan-insan mulia - manusia yang keras bekerja
dan tidak pernah mengenal penat.

Dari ceruk mana pun engkau datang
dan di sudut mana pun engkau mengisi ruang
hadirmu memberi makna yang panjang
kepada pendewasaan sebuah negara
mencabar dan memperkasa
dengan semangat juangmu yang sentiasa besar,
segar dan gemar menabur jasa.

Aku hanya melihat sebuah negara ini yang telah merdeka
bertegak bangga seperti muda belianya seorang jejaka
tetapi sering aku terlupa untuk menjenguk
di bawah sana rupanya ada golongan pendukung
yang selamanya berentap dan bertarung
sandar-menyandar dan saling menyokong
mendorong dan sering dirongrong.

Engkau pekerja adalah wira yang tidak didendang
Membanting tulang empat kerat di tengah ladang
berpacat dan berlumpur di petak bendang
menahan bahang laut demi sejaring ikan dan udang
berembun menyembah getah sebelum tinggi bayang-bayang
berbaris gigil di sejuk dinihari menanti kedatangan bas dari kilang
di perbatasan berjuang tanpa isteri hanya berteman selaras senapang
di baris hadapan memberkas petualang mempertahan kedaulatan undang-undang
menjaga sempadan negara dari diceroboh pendatang tidak diundang
gigih mendidik anak bangsa di sekolah ceruk hulu Ulu Beranang
mengubat sakit pening warga tua dan muda di hospital tidak kira malam siang
sabar menunggu gilir membayar tol di deret kendera yang panjang
terkadang menyumpah-seranah lantaran traffic jam yang tak pernah lekang
dimarah majikan kerana punch-card merah berulang-ulang

Engkau pekerja adalah tonggak nusa
selamanya menabur jasa
engkau membuang ke tepi rasa gundah dan putus asa
engkau menerjang ke sisi rasa lemah dan rasa selesa
engkau manusia biasa yang tidak punya kudrat sebesar raksasa
tetapi tetap engkau berbakti dengan semua yang ada tanpa rasa terpaksa
engkau tabah, cekal mencapai cita-cita
demi sentosa demi Tuhan Yang Esa.

Dari satu impian
dan satu harapan
kita melangkah menuju satu jalan
kita bekerja bukan untuk insan
kita bekerja bukan untuk makan
kita bekerja bukan untuk majikan
kita bekerja bukan untuk jawatan
kita bekerja bukan untuk kekuasaan
kita bekerja hanya kerana Tuhan

kita bekerja hanya kerana Tuhan.


Dideklamasikan sempena Sambutan Hari Pekerja dan Wacana Pekerja Kebangsaan anjuran Lajnah Pekerja PAS Pusat di Stadium Malawati, Shah Alam pada 4 Mei 2008.

Kebebasan Itu

Kebebasan itu tidak bercokol
di jari-jemari kasar sang penguasa
maka mereka kita gugah kerana
kebebasan itu kita mahu - walau barang sejengkal
guna kita bernafas dan demi memelihara akal.

Tetapi dengan kebebasan itu - yang kita tidak punya
biar sejengkal cuma di jari-jemari kita
masih mampu mencubit telinga mahupun
mengetuk kepala kita
yang jendul
kerana di jari-jemari kita sendiri pun kebebasan itu
tidak mampu bercokol.


Subang Jaya
28 Oktober 2008

Sebagai reaksi di atas sikap latah politikus Pakatan Rakyat terhadap cerpen Datuk Chamil Wariya, "Politik Baru YB J" yang tersiar di Utusan Malaysia.

Thursday, September 11, 2008

Percakapan Dari Seorang Insan Marhaen Kepada Insan Marhaen Yang Lain Dengan Sedikit Sesalan

Kepada manusia yang lagaknya memegang tali pelana harapan itu
Bisikkan kepadanya,
“Berhenti memacu”

Kami tidak lagi mahu menjadi kuda.


Friday, August 15, 2008

Kita Cuma Nak Beritahu

Assalamualaikum, kawan-kawan!
Apa khabar semua?
Ada sihat hari ni?
Bukan apa
Kita cuma nak beritahu
Sekarang sudah masuk bulan lapan
Bulan ni kita banyak main-main.

Bulan ni selalu tak belajar
Sebab cikgu jarang masuk kelas
Kawan-kawan pun ramai berlatih persembahan
Menyanyi, bersyair, berzapin, berlakon
Menari, berdikir, boria, berpantun
Kita pun cikgu suruh baca sajak nanti
Nanti kita duduk “di bawah pohon sejarah”
Kita pun tak tahu pohon sejarah itu apa
“Macam pokok rambutan ke?” kita tanya cikgu
Tapi cikgu suruh kita baca saja
Jangan tanya.

Kawan-kawan,
Kita cuma nak beritahu
Bulan ni kita banyak nyanyi-nyanyi
Lagu Keranamu Malaysia, lagu Sudirman, lagu Datuk Siti
Lagu Bahtera Merdeka, lagu Negaraku, lagu Jalur Gemilang
Kadang-kadang sampai dua-tiga kali cikgu
suruh kita berlatih, sampai kita letih
Sebab itu kawan-kawan jangan lupa
Bawa air botol dalam dua-tiga.

Ada lagi satu, kawan-kawan
Kita cuma nak beritahu
Ni penting, ni
Kawan-kawan kalau nak tulis haribulan
Dalam buku latihan
Atau masa buat ujian bulanan
Kawan-kawan tulis “Ogos” tau
“Ogos”
O-G-O-S
Bukan “August”
Yang cikgu ajar tu salah.



15 Ogos 2008
Setia Jaya

Wednesday, July 09, 2008

Balada Musim Rawan

Musim baru ini hujan masih belum turun
Tanah kami masih belum subur
Di atasnya yang merekah, rumput pun telah pecah
Benih harap yang kami tabur berbunga lalang
Menumbuhkan lalang-lalang panjang, kasar dan berceragah.

“Apa diharap padi seberang,
Padi seberang tidak menjadi;
Apa diharap kasihnya orang;
Kasihnya orang, orang tak sudi.”


Panas ini bukan dari matahari
Panas ini dari bumi
Kemanusiaan telah disumpah datuk-nenek leluhur
Dari dalam kubur
Wajah-wajah telah menjadi rencam warna
Bagai sesumpah
Dan kami meninggalkan legasi kacau-racau-rancu
Kepada anak cucu

“Payang retak tali bersimpul,
Kendi lokan airnya tumpah;
Hidup tidak kerana kaul,
Mati bukan kerana sumpah.”


Mata air telah kering, pun air mata
Mengesatnya menambah garam pada luka, hanya
Mencakar hati
Menanam benci
Sementara menunggu mati
Kami tidak mahu disembelih berkali-kali

“Tudung periuk pandai menari,
Menari lagu putera mahkota;
Kain yang buruk berikan kami,
Buat mengelap si air mata.”



Klang - Subang Jaya
7 - 9 Julai 2008


Tersiar di Mingguan Malaysia, 20 Julai 2008.

Thursday, March 27, 2008

Selepas Harapan

Lama sebelum api harapan itu dinyala
dari kandil marhaen paling kerdil
kami telah menjadi kejur dalam gebar gelap sunyi
terbaring tidak berdiri
mengerekot menunggu mati
yang tiba entah berapa hari lagi.

Tetapi rupanya masing-masing ada menyimpan bara
dalam diam dan mendekam
terpenjara
hanya menunggu silir perubahan berhembus perlahan
dari puncak gunung besi yang bersemangat sakti
sedikit-sedikit dan bertahan
lama-lama menjadi taufan.

Apabila saat itu tiba, dengan gagah
kami berdiri di atas kaki sendiri, megah
berganding dan melebar
melenting dan membuang sabar
sehingga api di kandil raksasa yang membakar
hampir-hampir sahaja menjilat
bunga doa
yang baru mengenal mekar

Selepas sunyi
kami kini menjadi penjaga api.


Pelabuhan Utara
27 Mac 2008

Monday, February 18, 2008

Ulang Tahun Pertama

Hari sudah pun gelap
dan dahaga paksa aku lelap
sewaktu kau datang membawa seberkas cahaya
cinta
di tangan kanan, dan sebejana air
kasih
di tangan kiri.

Lalu dengan terang dan kenyang yang aku
raih dari karung keikhlasanmu
kita bagaikan berpimpin menuju jalan lurus
dari satu tujuan dan harapan
Membasuh lumpur-lumpur duka yang berlumur di kaki
dan membebat luka-luka jiwa yang berdarah di hati.

Sayang,
Betapa kadangkala aku akan sering terlupa
menafsir sabar di lembar rasa
kerana sering ujian yang datang menimpa – bagai tiris hujan
tidak dapat aku tahan sendiri dengan tangan
lalu aku basah
dan perjalanan kita resah.

Namun dengan tenang wajah dan lunak suara
dari roman ramah dan raut mesra
dirimu yang setia, aku
bakal teringat semula
biar disuguh rawan dan ditindih hujan ujian, kita
harus tetap terus berjalan.

Dan terima kasih atas semua yang kauberi
Di hari ulangtahun ini, aku
seharusnya mahu lebih banyak memuji.



16 Februari 2008

Thursday, February 14, 2008

Misteri Kehilangan Menteri

Ke manakah perginya
Pemimpin nombor satu negara
Di sini atau Australia
Di Macau atau Amerika

“Tak apalah…
Saya pergi pun bukannya lama
Kalau orang nak kata apa-apa
Melanconglah
Honeymoonlah
Bercutilah
Biarlah
Ini semua cakap-cakap mereka saja
Sengaja mereka reka-reka cerita
Ini biasalah...”



26 Julai 2007

Sunday, February 03, 2008

Cintaku Di Atas Motor



Sehebat-hebat Jamil pun cuma dengan Madu Tiga
berlagak juara dengan kata “Dunia ini ana yang punya!”
tapi kamu walau hanya mampu berkendera roda dua
tanpa helmet dan nombor plet segala
tetap lebih perkasa memanggil rapat
isteri-isterimu yang berjumlah empat

Tidak kautakut dengan polis trafik atau JPJ
pengeluar saman, denda dan penalti
atau dengan bahaya yang menanti di depan mata
kerana kau di atas sana begitu bahagia
bermotosikal berlima bagai di dalam syurga
firdausi
“Kalau tercicir satu, si isteri tua, di belakang sekali,” katamu di dalam hati
“Masih ada lagi tiga setia menanti.”

Tetapi tanpa kauduga sama sekali
isterimu yang paling muda, yang begitu ayu tersengih manja
tiba-tiba berkata,
“Bang, bang!” kata dia antara desir angin yang menampar pipi
“Lepas ni kita naik basikal sahaja balik, ya”
“Motosikal ini ayah mahu ambil semula”

Dan kau hampir terlanggar seorang perempuan tua!


2 Februari 2008
(Sempena Sayembara Sajak Jenaka (Sajen) esastera.com)

Friday, January 11, 2008

Sebelum Lembar Ditukar




Sebelum Lembar Ditukar (Sempena Tahun Baru 1429 Hijrah)

Beberapa jam lagi sebelum kalendar Qamar bertukar lembar
catatan lama diangkat dan catatan baru bakal terlakar
tapi nafsu masih kuda liar
memijak iman dan menghenyak sabar hingga ke dasar.

Ah, sesal ini sering mungkir oleh dosa yang membiasa
bertukar dan bergulir
bergantian dan mengambil gilir
kelirukan gelap dengan sinar
entah mana mungkar mana benar.

Sehingga nanti apabila nafas sudah hendak keluar
moga-moga yang terlafaz ialah syahadah yang lancar.



Klang
8-9 Januari 2008

Friday, January 04, 2008

Cinta Bantal (dedikasi kepada menteri sihat)

Maka terbuka juga di dada
Busuk pekung memekung
Walau cuba kausorok kaukurung
Dalam selimut tebal yang mahal
Bilik hotel yang kebal
Tapi musuh itu dalam selimutmu sendiri
Menunggu sahaja masa mengeluarkan belati
Menikam dirimu yang enak diulit mimpi
Mungkin engkau tidak pernah sangka
Hari itu kau ‘kan ditimpa celaka
Rahsia yang tersorok di bawah bantal
Dijaja percuma begitu sahaja tanpa dijual
Tapi kaujuga wajar ketawa
Kerana kautidak akan didakwa
Kerana pemimpin atasanmu itu yang nombor satu
Cintakan bantal jauh lebih dari kamu


Pelabuhan Utara
3 Januari 2008