Monday, April 27, 2015

Berjalan; yang kau temui, dan yang kau tinggalkan

Berjalanlah, walau dengan pekerjaan itu
kau tak menemui dirimu
kerana apalah diharapkan
dari dua kaki berjalan
di denai terang tetap tersadung akar dan rotan.

Nanti, ketika hujan
kau berteduh bawah rimbunan pohon
apa salahnya kau keluar sebentar
biar dingin dan kebasahan
dengarlah bunyi pecup-pecap dari lecah yang kau pijak.

Sapu mukamu bak mengambil air sembahyang
di depan barangkali hari sudah cerah
ambil sedikit waktu melihat langit, di perhentian
sebelum matamu dipejam bila kau tahu
detik paling damai adalah selepas hujan berhenti.

Berjalan semula dan lekaslah
agar segera kering bajumu di badan
jangan keringkan hatimu; biar ia basah
bila-bila kautemui dirimu; perjalanan baru pun bermula
sepantas kau berjalan
sepantas diri kau tinggalkan.


Subang Jaya
27 – 28 April 2015

No comments: