Monday, November 26, 2018

2 sajak twit (November 2018)

(1)
Aku menemui alasan menemuimu - di balik lembar-lembar buku. Hanya untuk kutemui helai-helaian baru dengan kisah tak pernah kutahu. Kau banyak bercerita. Antara buku dan kamu, aku tak tahu mana yang lebih kucinta.
(2)
Bayang-bayangmu 'kah itu? Mengikutiku sejak mula berlegar di sekitar seperti kepunyaanku saja hadir bersama matahari menjelang gelap dan ia tetap enggan pergi maka bagaimana harusku lari seraya menghapus bayang-bayang sendiri?


Thursday, October 04, 2018

10 sajak twit (Disember 2017 - Oktober 2018)

(1) Kita kian sampai ke penghujung Di sekitar, tutur kata kian murung Kau yang merenung Aku yang terpasung Sepi menghiris hari Melewati senja, genggam tanganmu lerai di hujung jari. 4:21 AM - 4 Dec 2017 (2) Kita sama-sama tahu Esok tidak terbit seperti yang kita mahu Tetapi asalkan aku memilikimu hari ini Masa depan telah pun tertangguh Dan jarak termansuh Kau-aku satah-satah dimensi Kita menafi segala sehingga infiniti. 7:39 AM - 16 Dec 2017 (3) Kita tersenyum menuruni anak-anak tangga terakhir Aku memimpinmu perlahan Dan tertahan Sebelum kau berpaling bila tiba di muka pintu Aku tahu Senyummu lebur Di bawah redup mata beberapa titis jernih mula gugur. 5:18 AM - 22 Dec 2017 (4) Aku ingin membilang titis-titis air matamu Aku ingin menakung dan membawanya pulang Aku ingin jadi kertas yang mengelapnya Aku ingin jadikannya air tawar penyembuh kesedihanku. 8:15 AM - 29 Dec 2017 (5) Aku mencemburui langit yang mampu menghujankan titis-titis air semahu-mahunya. Aku mahu jadi bumi yang menakung air; basah dan segar, bau rumput mesra tersebar Aku lemas dalam kesedihan apabila hujan berhenti Bayangmu hilang seraya mendung dan senja menabiri hari. 6:29 PM - 29 Dec 2017 (6) Aku mengisi hari terakhir tahun lalu mengingatimu. Mengulanginya hari pertama tahun ini. Aku menangisi kali terakhir kita bertemu. Mengenang semula kisah dan memori. Antara pertama dan terakhir julat masa, harapku kita tidak berada pada titik-titik berbeza. 7:45 AM - 1 Jan 2018 (7) Aku sedang memadam baris-baris pudar dari cerita lama tentangmu. Kusam dan berdebu. Siapa tahu kau muncul di muka pintu. Di tanganmu diari dan pena. Di matamu bayang-bayang dari bulan nan gerhana. 8:02 AM - 2 Feb 2018 (8) Di manakah kau saat mereka menyambut hari ini? Tiada dalam gambar. Tiada di lembar. Hari berakhir saat aku masih menunggumu. Mereka beredar dan kau masih tiada di situ. 8:58 AM - 14 Feb 2018 (9) Selamat pagi, kenangan. Peluklah aku seperti sepasang kekasih pada hari perpisahan. Nanti, senja datang dan kau 'kan tenggelam dalam bayang-bayang. Malam memadam ingatan, di atasnya pertanyaan demi pertanyaan: bertemukah kita esok siang? 6:27 AM - 16 May 2018 (10) Aku bertarung di dunia hingar. Kau tertinggal di lembar. Sebelum nasib baik dan kemujuran menarik kita bertemu di meja kenangan. Memesan secangkir teh o panas buat menghapus dahaga kerinduan. Melemaskanku dalam dunia sepi. Agar puisi ini bisa kutulis untukmu sekali lagi. 6:40 AM - 4 Oct 2018

30 sajak twit (2016-2017)

(1)
segaris senyum kecil
yang kaulukis di tubir bibir
adalah perjuanganku bertahan
agar tidak jatuh cinta
sebelum lelah
memaksaku tewas
12:24 AM – 5 May 2016
(2)
Cuaca lumayan redup pagi ini. Hujan lebat pagi dan petang semalam memungkinkan tidur malam tadi tanpa pendingin hawa. Tapi ilham belum tiba.
8:28 PM – 17 Jun 2016
(3)
Gigil geletar bawaan semalam masih kuat. Dingin renyai mencengkam tubuh. Dan kau sebagai kehangatan tiada di sini hari ini.
8:52 PM – 17 Jun 2016
(4)
Lalu aku cipta kata2 yang lahir dari ketiadaanmu. Agar ada sesuatu yang boleh kusimpan di sana sebagai kenangan.
8:58 PM – 17 Jun 2016
(5)
Hujan ini merintikkan rindu yang dingin.
Sedingin kamu.
1:20 AM – 20 Jul 2016
(6)
Kau adalah alasanku melupakan dunia dan keresahannya. Cuma kecurigaanku, apakah kau penghapus resah atau keresahan lebih besar?
1:21 AM – 24 Aug 2016
(7)
Pertemuan hari ini sekitar tanda tanya dn jwpn2 kabur. Di tengah2nya kita taburi bunga2 senda dan tawa yg harum. Tetapi baunya cepat hilang.
1:28 AM – 24 Aug 2016
(8)
Kau menyimpan cerita di daerah yang tak bisa aku pergi. Kau begitu perahsia. Tidakkah kau tahu, aku pendengarmu yang setia?
9:42 AM – 26 Aug 2016
(9)
Penyimpan cerita, pemunya rahsia; berikanku nama-namamu. Mahu aku nukilkan ia dalam puisi-puisi masa depan.
9:50 AM – 26 Aug 2016
(10)
Puisi tidak tertulis seperti takdir. Ketidakpastian adalah rahmat tersembunyi. Kita tidak berkongsi sunyi. Tapi aku ingin mendengarmu lagi.
9:58 AM – 26 Aug 2016
(11)
Di manakah letaknya pesan2 yang pernah singgah di telinga? Hilangkah ia bersama angin? Bersama bau harum bunga di tapak tanganmu?
10:07 AM – 26 Aug 2016
(12)
Sudahkah kauucapkan “Selamat Malam” malam ini? Aku belum. Malam berasa sunyi. Aku ingin menemaninya hingga ia pula meninggalkanku esok pagi.
10:21 AM – 26 Aug 2016
(13)
Kau muncul bersama kenangan
yang erat kaugenggam di tapak tangan
tanyamu:
manakah yang mahu kuraih?
kenanganku atau tapak tanganmu?
7:42 AM – 2 Sep 2016
(14)
Penolakan tidak seteruk putus asa. Kau bisa menolakku selangkah ke belakang,bagiku ia adalah lajakan untuk berlari ribuan langkah ke depan.
8:35 AM – 2 Sep 2016
(15)
Pertemuan tidak memadam rindu. Ia memarakkannya menjadi lebih besar.
9:40 PM – 20 Sep 2016
(16)
Kau yang dekat di mata, jauh di rasa. Jarak tetaplah ilusi. Tiada yang mengganggu tetapi mengapa aku terbelenggu?
9:42 PM – 11 Oct 2016
(17)
Mungkin aku akan membencimu esok. Tapi sehingga ia tiba, biarlah aku menikmati hari ini sepenuhnya.
1:46 AM – 26 Oct 2016
(18)
Kita meletak sempadan yang wajar dan berhati-hati agar tidak melintasinya. Ya. Berhati-hati. Dan berhati.
6:04 AM – 18 Jan 2017
(19)
Ianya adalah apabila kau menyebut tentang (had dan) batas sehingga aku teringat sajak Aan Mansyur yang punya tajuk sama.
6:04 AM – 18 Jan 2017
(20)
Mahu tahu kenapa? Aku seperti mahu mengaitkan semua yang puitis dengan kata-katamu. Ia adalah cara menyimpannya dalam peti kenangan.
6:04 AM – 18 Jan 2017
(21)
Kemarahanmu begitu penting, tak terkesamping. Besar. Mengambil seluruh ruang yang ada. Selainnya jadi tak berguna. Sia2. Hina-dina. Tercela.
5:03 AM – 16 May 2017
(22)
Abaikan segala tindak dan lakuku. Campak saja ke longkang. Selayaknya sampah jadi ulitan para tikus, ulat dan lalat.
5:10 AM – 16 May 2017
(23)
Semoga akhirnya ia sampai ke tanah menjadi baja. Pasti ada manfaatnya di mana-mana bagi makhluk Tuhan yang tahu menghargai.
5:15 AM – 16 May 2017
(24)
Telah kita lewati detik2 tanpa kata
kukira tetap kita punya cerita
sendiri & peribadi
siapa tahu
perkhabaran pertama sejak lama
rupanya palsu
8:13 AM – 14 Jun 2017
(25)
Penipuan barangkali cara berlepas diri
tapi menjadi perempuan
dari daerah malu dan kesopanan
kau tak bisa lepas lari
8:30 AM – 14 Jun 2017
(26)
Kebahagiaan tidak tergantung masa. Kau muncul dari masalalu membawa manisan yang pernah kita cicip bersama. Lalu beredar dengan seribu tawa.
2:15 PM – 22 Jun 2017
(27)
Hadirmu tak mengubat luka
namun senyummu yang madu
memaniskan darah
lalu bisa yang tertanam jauh
dapat kusedut sendiri
kuludah
ke tanah
8:30 AM – 19 Jul 2017
(28)
Kau tiada hari ini sebagai mengingatkan aku kepada hari-hari kita bertemu.
1:40 AM – 2 Aug 2017
(29)
Kehilanganmu adalah kekesalanku hari ini. Terbesar. Walau cuba kunafikan. Kau telah membawa ingatanku jauh bersamamu. Tersasar.
7:16 PM – 2 Aug 2017
(30)
Aku belum kehabisan puisi untukmu.
Walau belum sekali pernah kaubaca.
1:42 AM – 9 Aug 2017

Wednesday, July 13, 2016

Peristiwa

Sesuatu telah terjadi
di hujung negeri apabila
seorang lelaki memetik bunga dari pasunya
dan cuba menanamnya di taman

pecah berita dan gempar manusia
terbenam matahari
matilah si lelaki
sebelum layu bunganya
di tangan.

Subang Jaya
13 Julai 2016

Wednesday, May 11, 2016

Biasan 2

Hujan menerbitkan puisi-puisi
antaranya tentang kau
yang muncul dari percik kesedaran
mengingatkan manusia seperti aku yang sering berilham
tentang pertemuan

masa lalu

dan cinta yang tak terselamatkan.


Subang Jaya
11 Mei 2016

Tuesday, May 10, 2016

Selepas Hujan

Aku ingin berteduh di bawah redup pohon selepas hujan
segarnya seperti berbicara denganmu saban sore
biar kedinginan membilang titis-titis akhir
aku teringat matamu punya redup sama

yang ingin sekali aku berteduh di bawahnya.


Subang Jaya
10 Mei 2016

Thursday, May 05, 2016

Garis Kecil

segaris senyum kecil
yang kaulukis di tubir bibir
adalah perjuanganku bertahan 
agar tidak jatuh cinta
sebelum lelah
memaksaku tewas.


Subang Jaya
5 Mei 2016

Wednesday, March 30, 2016

Pagi Tanpa Ucap Selamat

Aku menghulur salam kepada pagi
berharap hari yang cerah muncul sebentar lagi
bersama doa dan harapan
antaranya semoga kucingku panjang umur.
matahari berdebu dari balik kaca jendela
menghantar sinar dan seru
serta ucapan-ucapan yang tergantung di antaranya
apa khabar para koruptor
legakah sudah perutmu?
temani aku ke tempat kerja.
panas di aspal panas di atas motor
panaskah mantan diktator
mengumpul tenaga baru dari kawanan
pusingan bumi di atas paksi rupanya
bukan sahaja menggulir hari
malah sang penindas bisa dikasihani mangsanya.
jalan-jalan rosak menuju kota
bertukar sempit seperti kotak tidur kucingku
menyesak nafas dan hangat udara memanggung
dendam
tersekat di penjuru kehidupan
seperti kenderaan macet di jalanan.
melihat dari mata murba
maka bagaimana
mahu aku ucapkan
selamat pagi kepadamu?

Klang – Subang Jaya
29 Mac 2016

Friday, July 10, 2015

Dewan Peperiksaan

Tentang soalan-soalan yang sering kautanya
lewat tutur dan diammu
ketahuilah
aku punya keraguan sama
yang ingin sekali kutanyakan
kepada sesiapa saja yang tahu
kepada
Penyedia soalan itu.

Namun, di atasnya
kita sama-sama sedar
hukum soalan bukanlah pada jawapan
sementelah dirimu sendiri
di satu sudut sunyi

adalah soalanku paling besar.


Subang Jaya
10 Julai 2015

Sunday, July 05, 2015

Lelaki Yang Ditinggalkan Cinta

Di luar, gelap malam menimpamu
sekeping demi sekeping. Rokok bersambung puntung.
Nasi goreng. Teh Tarik. Henfon melantun bunyi
mesej demi mesej. Kauterima dan kaubalas
lewat hembusan asap bertalu-talu.

Hidup berat di bahumu
menekan bagai seorang hamba – ditindih batu gunung
negeri ini kekurangan lelaki untuk diuji
dan harga kepada sebuah pilihan
dibayar dengan sejarah dan masa depan
tunai
tanpa cagaran.

Apalah ada pada kesetiaan?
harapan adalah pisau dua mata
kebenaran tertunda – pengkhianatan muncul dalam garis-garis kelabu
menjelma cantik tapi bertopeng
bertukar wajah-wajah duka
datang menjemputmu
dan menunggu
masih

bagai janji seorang kekasih.


Subang Jaya
5 Julai 2015

Wednesday, June 03, 2015

Mencintaimu Seperti Menulis Puisi

Sewaktu kau berjalan di bawah pohon-pohon ru rendang
cahaya matahari jatuh jarang-jarang
menimpa tubuhmu yang
semakin jauh – mengecil
sebelum hilang dari pandangan.

Lorong yang kau pijak menjadi rindu serentak dendam
Hati;
dari pandangan cinta yang pernah berjejak
– semakin berjarak.

Adalah bayang-bayangmu yang menghantarku
ke meja tulis – mengarang puisi
bersama ucapan salam yang kaukirim
lewat cahaya matahari
yang jatuh jarang-jarang
seperti jua rindumu
yang sering muncul
terkadang hilang.


Klang
3 Jun 2015

Friday, May 29, 2015

Pagi Gelap

Pagi itu kenangan datang padaku membawa pisau. Aku terpempan sebelum bertanya, 
“Kenapa aku?”
Bibirnya mawar – menguntum senyum tawar
lalu menjawab dengan bahasa perempuan,
“Engkau tidak memilih kenangan, sayang!”
Langit terbuka. 
Kenang-kenangan terbang bergentayangan tanpa batas
dengan bunga dengan madu
dengan racun.
Aku tidak jumpa kenangan yang cocok
seperti katanya, aku tidak memilih kenangan.
Lalu terdamparlah aku melihat langit
ditikam kenangan
sejurus pergi (dan luka masih basah)
kenangan sengaja mencicirkan pisau
katanya, 
lewat senyumnya yang (masih) perempuan
“Sehingga bertemu lagi, 
Sayang!”



Subang Jaya
29 Mei 2015

Monday, April 27, 2015

Berjalan; yang kau temui, dan yang kau tinggalkan

Berjalanlah, walau dengan pekerjaan itu
kau tak menemui dirimu
kerana apalah diharapkan
dari dua kaki berjalan
di denai terang tetap tersadung akar dan rotan.

Nanti, ketika hujan
kau berteduh bawah rimbunan pohon
apa salahnya kau keluar sebentar
biar dingin dan kebasahan
dengarlah bunyi pecup-pecap dari lecah yang kau pijak.

Sapu mukamu bak mengambil air sembahyang
di depan barangkali hari sudah cerah
ambil sedikit waktu melihat langit, di perhentian
sebelum matamu dipejam bila kau tahu
detik paling damai adalah selepas hujan berhenti.

Berjalan semula dan lekaslah
agar segera kering bajumu di badan
jangan keringkan hatimu; biar ia basah
bila-bila kautemui dirimu; perjalanan baru pun bermula
sepantas kau berjalan
sepantas diri kau tinggalkan.


Subang Jaya
27 – 28 April 2015

Thursday, April 02, 2015

Satu April Dan Aku Kehilangan Puisi

Kita menulis di udara
tentang kemarahan
sebal
kecewa dan putus asa
betapa penguasa punya neraca baru dalam menimbang nilai-nilai
di sampingnya neraca para saudagar lebih berat
menyukat angin
dan pecahannya dalam persen-persen yang tidak kita fahami.

Menuju negara maju, kata mereka
pun begitu aku terlalu ragu
apakah neracanya bagi maju yang mereka katakan
adakah kami juga bakal maju bersamamu?
atau, oh ya, aku lupa
mereka punya neraca baru yang pandai menimbang
segala nilai dan persen-persen
di hujungnya jangan kaulupa minta resit.

Hujan senja satu April
aku melihat hadapan berbalam-balam dan samar
melihat kita dan diriku
dinilai dalam persen-persen
di atas neraca baru penguasa
dan para saudagar.


Subang Jaya
1 April 2015

Monday, August 25, 2014

Pesan Kepada Politikus

Sampaikan kepada politikus
kami sudah lali dengan janji manis dan harapan palsu
dibalut dengan kertas bungkus
berlabel "perjuangan" dan "keadilan"
tanpanya ternyata kami lebih bahagia
menyusuri hari-hari biasa
tanpa ditipu
tanpa dicucuk hidung seperti lembu.

Politik adalah pemerdayaan persepsi
sedang yang kami perlu adalah segelas
air
dan sesuap nasi.


Klang

24 Ogos 2014

Tuesday, June 10, 2014

Hati patah

Balik tidak diundang,
Sihat sakit-sakitan;
Baik tidak dipandang,
Jahat ingat-ingatan.


Monday, May 26, 2014

Hujan, sewaktu kaumula menangis

Kita sedang beriring di permatang waktu
setelah leka membasah kaki
merenung ikan-ikan di kali
sewaktu langit mula hitam dan menitikkan titis-titis dingin
kau dan aku sebetulnya masih ingin
memetik beberapa helai lagi daun-daun masa
tetapi kita tetap tahu pertemuan bukanlah selamanya
sampai tikanya ia harus berundur
dan disimpan sebagai kerinduan.

Hujan makin deras tika kita
berlari-lari anak di batas kenangan
masa sepantas kaki kita yang kebasahan
percik air hingga ke muka
kautersenyum suka
sehinggalah kita tiba di penghujung jalan
garis senyummu yang madu
putus dipadam pilu.

Di hujung matamu yang bergenang air
aku tahu kita mengejar perpisahan
di hujung matamu yang bergenang air
aku tidak tahu
adakah ia tangisan
atau titis hujan.


Klang – Subang Jaya

12 – 15 April 2014

Wednesday, April 16, 2014

Sakit

Rupa-rupanya
tidak mendapat sesuatu
tidaklah sesakit mengetahui rakan kita
mendapat sesuatu
yang kita mahu.


Subang Jaya
15 April 2014

Kenang-kenangan MH370

Kami masih bingung sewaktu kau meluncur ke garisan takdir
tertanya-tanya tentang tujuan, tentang punca
tentang arah dan waktumu
di sela terhantar pesan anak, raung ibu dan harap warga
bantuan semakin hadir
siapa tahu kau telah tiba dulu ke perhentian terakhir.

Doa kami barangkali tergulung dalam ombak
maafkan kami yang selalu menduga
menaruh syak kepadamu yang sedang di persimpangan
hidup dan maut
kami terlalu melampau, melempar
kad demi kad pertaruhan di atas meja nasib
menyangka nyawamu semurah teks-teks yang galak ditaip.

Takdir telah bersuara kuat
kita bukanlah penulis nasib kita sendiri
sepantas mana langkah kaki
sejauh mana kita berlari
sampai satu masa waktu ‘kan terhenti
Dari Allah kita datang, kepada-Nya kita kembali.


Subang Jaya
26 Mac 2014


Tersiar di BH Ahad, 30 Mac 2014

Wednesday, March 12, 2014

#DoaBuatMH370

Bilakah angin akan datang membawa khabar
telah kami tenung langit dan laut, bertanya
kalau-kalau ada camar dan ikan 
yang mahu bersuara membayangkan jawapan
kepada sebuah cerita yang kami baca
dari buku yang tidak kehabisan lembar.

Kami menanti berita-berita lewat
dari para peneka
(yang kadangkala suka berjenaka)
dan sang pewajar kehilangan wajah
di hujungnya hanya paparan sah dan nafi
saat kita menjemput ketumbukan seluruh benua
gusar kami seluas Laut China Selatan
mahu dikepung satu dua hari lagi.

Sejadah kami telah menakung tumpahan air mata
moga ia cukup ikhlas menjadi jambatan
menghantar doa kepada Tuhan
agama sering jadi antara persinggahan terakhir
para pengenggan takdir
namun di sebalik banyaknya dosa
kita tetap bersolat
mengetahui bukan di tangan kita jadinya
sebarang manfaat atau mudarat.


Subang Jaya
12 Mac 2014