Sunday, July 05, 2015

Lelaki Yang Ditinggalkan Cinta

Di luar, gelap malam menimpamu
sekeping demi sekeping. Rokok bersambung puntung.
Nasi goreng. Teh Tarik. Henfon melantun bunyi
mesej demi mesej. Kauterima dan kaubalas
lewat hembusan asap bertalu-talu.

Hidup berat di bahumu
menekan bagai seorang hamba – ditindih batu gunung
negeri ini kekurangan lelaki untuk diuji
dan harga kepada sebuah pilihan
dibayar dengan sejarah dan masa depan
tunai
tanpa cagaran.

Apalah ada pada kesetiaan?
harapan adalah pisau dua mata
kebenaran tertunda – pengkhianatan muncul dalam garis-garis kelabu
menjelma cantik tapi bertopeng
bertukar wajah-wajah duka
datang menjemputmu
dan menunggu
masih

bagai janji seorang kekasih.


Subang Jaya
5 Julai 2015

No comments: